suria

Pasar Tani Aidilfitri Tawar Barangan Kawalan

KUALA LUMPUR: Pasar Tani Khas Aidilfitri yang mula beroperasi di seluruh negara Sabtu, bukan sahaja memudahkan orang ramai mendapatkan barangan segar tetapi juga barang kawalan seperti minyak, tepung dan gula.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata daripada 130 pasar tani khas itu, sebanyak 40 lokasi mendapat lesen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk menjual barangan kawalan tersebut. Ini akan memudahkan pengunjung pasar tani untuk mendapatkan semua barang dapur yang diperlukan di satu tempat, katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pasar Tani Khas Aidilfitri di Taman Melawati, di sini Sabtu.

Beliau berkata 130 pasar tani khas ini adalah sebagai tambahan kepada 418 pasar tani sedia ada untuk menjual barangan keperluan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menyentuh mengenai bekalan kelapa, Noh berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Pertanian Persekutuan telah mengimport 2.6 juta kelapa dari Indonesia bagi menampung permintaan yang meningkat sempena hari raya.

"Jumlah kelapa (yang diimport) ini cukup untuk menyediakan masakan tradisonal hari raya, begitu juga (beras) pulut kita beri jaminan akan mencukupi di pasaran," katanya. Noh berkata selain memastikan bekalan keperluan mencukupi, kementerian itu juga akan memastikan harga barangan di pasar tani lebih murah daripada harga kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Sebagai contoh harga kawalan ayam ialah RM7.20 sekilo, tetapi di pasar tani saya lihat mereka jual RM6.90 sekilo, begitu juga kobis harga kawalan RM3 sekilo, tetapi di pasar tani, kobis tempatan dijual hanya RM1 sekilo," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain