suria

Pairin Pertahan Konsep 1Malaysia

TAMBUNAN: Kenyataan oleh segelintir tokoh yang mengatakan mereka tidak faham dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sesuatu yang tidak boleh diterima, kata Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Konsep 1Malaysia jelas merupakan satu perjalanan menuju ke destinasi yang diingini oleh semua rakyat, katanya.

"Menurut penjelasan Perdana Menteri, definisi konsep 1Malaysia ialah kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara dan keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama," katanya.

Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan PBS Bahagian Tambunan yang diadakan di Dewan Tandarason Resort and Country Club Tambunan dekat sini, Sabtu.

Beliau berkata ini bermakna konsep 1Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing-masing, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia.

Katanya konsep itu diperkenalkan bagi melahirkan Bangsa Malaysia yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dibawa oleh arus globalisasi termasuk dalam bidang sosial, ekonomi dan politik.

Pairin berkata cabaran globalisasi yang melanda seluruh dunia ketika ini memerlukan setiap negara menyusun strategi masing-masing agar tidak tersisih daripada arus globalisasi.

Bagi menghadapi keadaan itu, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan dan anutan agama, perlu bertindak sebagai satu bangsa, yakni Bangsa Malaysia, yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai matlamat itu, katanya.

Beliau berkata pendekatan itu akan memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara rakyat pelbagai kaum di negara ini sebagai senjata utama untuk menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran yang boleh menggugat kesejahteraan negara.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain