suria

Liong Sik Mohon Pindah Skandal PKFZ Ke Mahkamah Tinggi

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik yang dituduh menipu kerajaan berhubung skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) melibatkan pembelian tanah bernilai RM1.08 bilion, hari ini memohon agar kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selain mahu mendapatkan tiga dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Peguam beliau, Wong Kian Kheong, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa pihaknya telah membuat permohonan pemindahan itu pada 1 Sept lalu mengikut Seksyen 418A Kanun Acara Jenayah dan memohon pihak pendakwaan mempertimbangkannya.

Tiga dokumen yang dipohonnya pula adalah dokumen mesyuarat jemaah menteri, mesyuarat pasca kabinet Kementerian Pengangkutan dan mesyuarat jawatankuasa jemaah menteri.

"Merujuk Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972, kami perlukan penjelasan takrif 'rahsia rasmi' dengan merujuk kepada tiga dokumen ini yang tergolong sebagai 'rahsia rasmi'.

"Saya perlu dokumen ini diklasifikasi untuk membolehkan pembelaan sewajarnya dibuat.

"Untuk sediakan pembelaan, saya juga telah memberitahu pendakwaan bahawa saya perlu menemubual saksi-saksi berkenaan dengan tuduhan utama dan tuduhan alternatif dengan kehadiran pegawai penyiasat," kata Wong sambil memohon satu tarikh sebutan awal dan singkat demi kepentingan awam memandangkan Ling pernah menjadi menteri.

Timbalan Pendakwa Raya Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya tidak membantah kes itu ditetapkan sebagai kes sebutan tetapi bukanlah dalam tempoh yang singkat.

"Kami tidak membantah untuk tetapkan tarikh sebutan tetapi tidak mungkin pembelaan sendiri boleh buat jika tarikh yang singkat ditetapkan sebab untuk temubual saksi, pembela perlukan dokumen. Pendakwaan juga terlibat dalam kes PKFZ yang lain.

"Kami memohon akhir November ini untuk membolehkan pendakwaan meneliti permohonan yang kami terima pada 1 Sept (pindah kes ke Mahkamah Tinggi) agar pendakwaan menggunakan budi bicara di bawah Seksyen 418A Kanun Acara Jenayah.

"Kami akan kemukakan dokumen-dokumen yang dipohon pembelaan mengikut Seksyen 51 Kanun Acara Jenayah. Akan terdapat dokumen lain yang akan diserah sebeum bicara" katanya.

Mengenai Akta Rahsia Rasmi yang dibangkitkan Wong, beliau berkata sekiranya pihak pembelaan akan menggunakan dokumen itu di mahkamah kelak, sudah pasti pihak pendakwaan akan menjelaskannya dan ia tidak menimbulkan sebarang isu.

Hakim Suzana Hussin kemudiannya menetapkan 30 November untuk sebutan kes.

Pada 29 Julai lalu, Ling, 67, mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan alternatif menipu Jemaah Menteri dengan menyembunyikan fakta dalam pembelian tanah itu, di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya di antara 25 Sept 2002 dan 6 Nov 2002.

Mengikut pertuduhan utama, Ling dituduh memperdayakan Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah itu mengikut terma-terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd dan Lembaga Pelabuhan Klang.

Terma-terma berkenaan ialah - luas tanah 999.5 ekar atau 43,538,200 kaki pesegi;

- kadar pembelian tahan adalah sebanyak RM25 satu kaki persegi menjadikan jumlah pembelian sebanyak RM1,088,456,000;

- tempoh pembayaran balik berdasarkan kaedah "bayaran tertangguh" selama 15 tahun dengan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun (berjumlah RM720,014,600).

Ling dituduh memperdayakan Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah tersebut mengikut terma-terma itu dan dengan curangnya menyembunyikan fakta bahawa penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah tersebut pada kadar RM25 satu kaki persegi bagi tempoh bayaran balik 15 tahun, adalah termasuk kadar kupon/faedah yang boleh dikenakan untuk tempoh bayaran balik tersebut.

Oleh demikian, beliau dituduh dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tahan tersebut yang mana Jemaah Menteri tidak akan memberikan persetujuan sekiranya fakta tersebut dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

Pertuduhan utama mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan alternatif, Ling dituduh menipu Jemaah Menteri dengan curangnya menyembunyi fakta serupa pada tempat dan tarikh yang sama, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sehingga lima tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Turut hadir bersama Ling di mahkamah ialah isterinya Toh Puan Ena Ling dan dua anak lelaki mereka, Hee Leong dan Hee Keat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain