suria

Kilang Pindah Gas Secara Haram Diserbu KPDNKK

SUNGAI PETANI: Taktik sebuah kilang menggunakan treler bagi menjalankan kegiatan pemindahan gas secara haram terbongkar apabila sepasukan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyerbu kilang itu, Sabtu.

Serbuan pukul 2.10 petang ke atas kilang yang terletak di Kawasan Perindustrian Sungai Tukang di sini membabitkan 17 anggota daripada Unit Kawalan Bahan Petrolium KPDNKK Putrajaya dan Bahagian Risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zon Utara.

Ketua Operasi Mohd Hashim Md Daud berkata serbuan dilakukan selepas pihaknya membuat risikan bersama SPRM ke atas kilang berkenaan dan mendapati ia menjalankan kegiatan penmindahan gas secara haram.

Beliau berkata dalam serbuan itu pihaknya merampas sejumlah 3,000 tong gas industri dan domestik dari kilang terbabit selain lapan treler dan dua lori kecil berisi tong gas yang diletakkan dalam kawasan dan hadapan kilang itu.

"Taktik menggunakan treler sebagai tempat memindahkan gas secara haram merupakan yang terbaru ditemui...ini kerana treler berkenaan boleh melakukan pemindahan gas di mana-mana sahaja tanpa mengira tempat," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Beliau berkata taktik terbaru ini juga mampu mengelakkan kegiatan mereka dikesan KPDNKK kerana treler terbabit boleh digerak dengan cepat sekiranya serbuan dilakukan. "Hasil daripada kegiatan pemindahan gas secara haram ini pemiliknya mengaut keuntungan sehingga RM12,000 sehari dan mampu mendapat sejumlah RM1.2 juta dalam sebulan," katanya.

Mohd Hashim berkata pemilik kilang yang berusia 50-an ditahan kerana cuba memberi rasuah sebanyak RM20,000 kepada pegawai KPDNKK dan SPRM yang membuat pemeriksaan terhadap kilangnya.

"Kejadian itu berlaku ketika pegawai KPDNKK dan SPRM menyerbu kilang berkenaan apabila pemiliknya cuba menawarkan wang berkenaan bagi mengelakkan dikenakan tindakan kerana menjalankan kegiatan memindah gas secara haram," katanya.

Beliau berkata syarikat terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1969, yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM250,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali, dan pemiliknya pula mengikut Seksyen sama dan boleh didenda RM100,000 dan penjara tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan.

Beliau berkata pemilik kilang terbabit juga akan diserah kepada SPRM dan akan didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM kerana cuba memberi rasuah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan 20 tahun penjara dan denda.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain