suria

Kejayaan Lampau Bukan Ukuran Berdepan Cabaran Baru

SANDAKAN: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kejayaan lampau pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara tidak harus dijadikan ukuran untuk menghadapi cabaran baru yang lebih kompleks. Sebaliknya titah baginda, senario keselamatan dunia dan serantau masa kini menuntut tahap pengorbanan yang lebih tinggi daripada semua pihak.

"Kita harus menyedari hakikat bahawa negara Malaysia hanya satu dan kita mesti mempertahankannya daripada sebarang bentuk ancaman," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Regimen 504 Askar Wataniah bertitah demikian ketika berangkat melakukan lawatan kerja ke Kem Pulau Berhala, di sini malam Jumaat. Lawatan ke Pulau Berhala itu adalah sebahagian daripada beberapa lokasi yang disenaraikan untuk dilawati Raja Muda Perlis dan delegasi Jawatankuasa Pendokong Askar Wataniah (JAKPAW) Perlis ke kawasan Ops Pasir Sektor Utara.

Kem tersebut menempatkan Batalion 19 Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanize yang berpangkalan di Sungai Petani, Kedah.

Baginda yang diiringi diiringi Raja Puan Muda Perlis Tunku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut meninjau kehidupan kira-kira 2,000 masyarakat pulau itu.

Lawatan itu yang bermula Jumaat akan berakhir 6 September ini dan antara anggota JAKPAW yang menyertainya ialah Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Azizan Hamid yang juga Pengerusi JAKPAW, Ketua Polis negeri Datuk Ghazali Amin, Penasihat Undang-undang negeri, Abdul Rasid Sudin, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis Sabry Ahmad. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain