suria

Indonesia Sedia Berunding Berhubung Lima Segmen Sempadan Dengan Malaysia

JAKARTA: Kerajaan Indonesia telah menyatakan kesediaan untuk berunding berhubung soal sempadan maritim di lima segmen dengan kerajaan Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah, pada 6 Sept ini.

Kelima-lima segmen itu ialah Selat Melaka, Selat Melaka bahagian Selatan, Selat Singapura, Selat Sulawesi dan Laut Cina Selatan.

"Kami sudah persiapkan segala sesuatunya dengan baik bahkan kami sudah mengajukan agendanya kepada Malaysia dan sudah sesuai aturan Persidangan Bersama peringkat Menteri termasuk hubungan secara umum antara dua negara," kata Menteri Luar Negeri Dr Marty Natalegawa kepada wartawan di Jakarta, Jumaat.

Indonesia ingin kembali menegaskan komitmen dan tekadnya untuk mempercepat proses perundingan sempadan agar insiden-insiden yang menyebabkan ketegangan di kedua-dua pihak tidak berulang lagi.

Termasuk juga mengenai Prosedur Standard Operasi di lapangan mengenai cara menangani pelanggaran sempadan.

"Kita tentu akan mendesak dan mendorong agar perundingan segera dilakukan. Insiden (di perairan Bintan 13 Ogos) baru-baru ini mengingatkan kita betapa perundingan sempadan sangat perlu dilakukan," katanya.

Namun beliau menyedari bahawa perundingan merupakan proses yang tidak mungkin mencapai penyelesaian hanya dalam sekali pertemuan, kerana masing-masing pihak mempunyai pendirian masing-masing.

Dr Marty akan menjadi ketua perundingan untuk delegasi Indonesia yang akan disertai pegawai kanan daripada beberapa jabatan lain.

Beliau menolak menyebutkan tawaran Indonesia kepada Malaysia agar tercapai kesepakatan dalam perundingan yang telah dimulai sejak 2005 itu.

Namun, beliau yakin dapat melaksanakan tugas itu dengan baik dan mencapai hasil maksimum seperti capaian-capaian Indonesia dalam perundingan selama ini.

Selain menyelesaikan masalah sempadan, pihaknya juga akan meminta penjelasan kerajaan Malaysia mengenai insiden 13 Ogos yang telah menimbulkan ketegangan hubungan sehingga hari ini.

Dalam insiden itu bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia telah menahan tujuh nelayan Malaysia manakala Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai penguatkuasa kementerian dari Indonesia itu.

Kedua-kedua belah pihak mendakwa penahanan itu dibuat kerana kesalahan menceroboh wilayah perairan negara masing-masing. Kesemua tahanan itu telah dibebaskan oleh pihak berkuasa kedua-dua negara pada 17 Ogos. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain