suria

APMM Rampas Mercun Di Perairan Kuala Perlis

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas tiga kotak mercun dan bunga api yang dipercayai cuba diseludup ke dalam negara, selepas menahan sebuah bot kira-kira 0.4 batu nautika dari pantai Kuala Perlis dekat sini, Khamis.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Wilayah 1 Langkawi, Kapten (Maritim) Abdul Rahim Abdullah berkata bot tanpa nombor itu dikesan bergerak menuju ke perairan Kuala Perlis dalam keadaan gelap dan mencurigakan pada kira-kira pukul 11 malam.

Beliau berkata dua lelaki terjun dari bot itu selepas menyedari kehadiran APMM dan mereka menghilangkan diri ke dalam hutan bakau berhampiran.

Katanya hasil pemeriksaan ke atas bot itu, APMM menjumpai pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM 2,900 yang dipercayai cuba diseludup dari negara jiran.

Abdul Rahim berkata kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali atau tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan, atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain