suria

Anak Exco Kedah Meninggal Dunia Dalam Kemalangan

SUNGAI PETANI: Anak kedua Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan Kedah Dr Hamdan Mohamed Khalib meninggal dunia malam Jumaat selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Bukit Selambau dekat sini, Khamis lalu. Syazmin Hamdan, 16, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Abdul Halim di sini kira-kira pukul 10.45 malam setelah tidak sedarkan diri lebih 24 jam. "Dua orang anak saya terlibat dalam kemalangan jalan raya berhampiran Bukit Selambau kira-kira pukul 3 petang Khamis lepas," kata Dr Hamdan ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini Sabtu.

Beliau berkata semasa tiba di tempat kejadian, kereta Produa Kelisa yang dipandu anak sulungnya, Syazwan, 18, bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

"Syazwan cuba mengelak lori tersebut, tetapi mereka terbabas masuk ke dalam parit," katanya dengan linangan air mata.

Dr Hamdan berkata kejadian itu berlaku selepas Syazwan dan dua lagi rakannya pergi mengambil Syazmin yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sik.

Bagaimanapun, dua lagi rakan anaknya itu mengalami cedera ringan dan telah dibenarkan keluar hospital.

"Jika dilihat daripada keadaan anak-anak saya, anak sulung saya lagi kritikal kerana selepas kejadian dia tidak sedarkan diri sehingga hari ini.

"Selepas kejadian, Syazmin masih sedar dan boleh menceritakan bagaimana kejadian itu berlaku kepada saya. Tidak sangka pula dia (Syazmin) yang akan pergi dahulu," katanya. Katanya selepas kejadian, keempat-empat mangsa dibawa ke Hospital Sik sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim.

"Saya reda dengan ketentuan Ilahi...tak tahulah nasib anak sulung saya macam mana lagi kerana dia masih dirawat di ICU. Saya harap agar Syazwan akan sembuh," katanya dengan nada sebak.

Jenazah Syazmin dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Kampung Merbok dekat sini kira-kira pukul 11.30 pagi Sabtu.

Turut melawat jenazah ialah Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak, exco-exco kerajaan negeri dan juga Ketua Umno Bahagian Merbok Datuk Tajul Urus Md Zain. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain