suria

Sorok Mercun Dalam Reban Ayam Taktik Baru Di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Penyeludup mercun di Terengganu kini menggunakan cara baru untuk menyorok bahan terlarang itu, iaitu menyembunyikan dalam reban ayam tidak digunakan dan terletak jauh dari rumah mereka.

Pengarah Kastam Terengganu Datuk Azis Yacub berkata terbaru, Kastam Terengganu menemui 203 kilogram mercun dan bunga api pelbagai jenis dalam reban ayam di Kampung Losong Hj. Mat Shafie, di sini, pukul 10.48 malam Khamis.

"Lokasi mercun bernilai lebih RM6,000 termasuk cukai itu hanya kira-kira 500 meter dari tempat letupan yang menyebabkan seorang kanak-kanak enam tahun terbunuh baru-baru ini," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Dalam kejadian itu, Khairul Arif Ayob, 6, murid tadika Kampung Losong Atap Zin di sini, maut manakala dua lagi cedera parah apabila sebuah rumah yang dipercayai dijadikan stor simpanan bunga api dan mercun meletup dalam satu kejadian di Kampung Seberang Baruh, Cabang Tiga.

Azis berkata sebelum itu kira-kira pukul 2.10 petang, dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Binjai Berambu, Kepong, di sini pihaknya menemui 119.25 kilogram mercun bernilai RM2,980 dan 256 karton rokok kretek dan rokok putih seludup pelbagai jenama bernilai RM4,950.

"Cukai yang cuba dielak ialah sebanyak RM21,600. Sorang lelaki yang merupakan pemilik rumah itu ditahan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sepanjang Ramadan, 10 kes melibatkan mercun bernilai RM16,412 dengan tangkapan lima orang dibuat jabatan itu di seluruh negeri, kata Azis.

Mercun dan bunga api itu dipercayai diseludup masuk dari Thailand dan untuk pasaran tempatan sempena perayaan tidak lama lagi.

Azis berkata pihaknya akan meneruskan operasi 24 jam sehari di seluruh negeri untuk membanteras penyeludupan bahan terlarang terutama mercun dan bunga api.

Beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan kepada Kastam Terengganu di talian 09-6228477/09-6204242 atau talian bebas tol 1800-88-8855. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain