suria

Rakyat Dinasihatkan Bertenang Berhubung Isu Demonstrasi Upahan Di Jakarta

KULIM: Rakyat negara ini dinasihatkan supaya bertenang dan tidak mengambil tindakan yang akan merugikan negara berhubung isu demonstrasi anti-Malaysia di Jakarta kerana kini sudah terbukti bahawa keadaan itu sengaja diwujudkan oleh para penunjuk perasaan upahan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata keadaan itu menunjukkan ada pihak-pihak tertentu yang tidak senang dengan keakraban hubungan antara Malaysia dan Indonesia.

Oleh itu orang ramai sepatutnya tidak terbawa-bawa dan terjebak dengan apa yang berlaku lantas melakukan perkara-perkara yang akan mengeruhkan lagi keadaan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Juara Rakyat Umno Bahagian Padang Serai di Masjid Al-Ittihad, Sungai Kob, dekat sini.

"Perkara yang penting perlu dilakukan adalah mengambil sikap menjernihkan suasana untuk mengekalkan hubungan baik antara dua negara, bangsa serumpun yang mempunyai hubungan cukup lama sebagai dua negara Islam dan sempena bulan Ramadan ini, kita perlu memikirkan ke arah kebaikan masa depan," katanya.

Pada majlis itu seramai 441 orang dari kalangan kurang mampu, warga emas yang susah dan Orang Kurang Upaya(OKU) menerima bantuan barang-barang keperluan dapur menjelang hari raya dan juga "duit raya' berjumlah RM10,000 sumbangan zakat Bank Kerjasama Rakyat Cawangan Kulim.

Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno berkata rakyat terutama anggota Umno tidak sepatutnya terbawa-bawa dengan tindakan segelintir yang bertindak liar.

"Jika berlaku pertelagahan antara kedua negara itu yang rugi adalah kita dan dalam perkembangan terbaharu kita berharap pihak kerajaan khususnya kementerian terlibat berindak segera cuba mengatasinya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad juga menyeru Kementerian Dalam Negeri supaya bertindak tegas terhadap kegiatan lelaki yang menamakan dirinya Namewee yang dikatakan cuba mengeruhkan pertalian baik antara kaum di negara ini tetapi kononnya menyokong gagasan 1Malaysia.

"Kerajaan perlu bertegas kerana tindakan pertama yang dilakukannya dulu dengan mencerca lagu kebangsaan Malaysia dengan lagu Negarakuku dia dilepaskan dan cubaan keduanya juga kita perlu bertindak selaras dengan undang-undang yang ada," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain