suria

Penganggur Terlibat Kes Pecah Rumah Dan Curi Ditahan Polis

LUNDU: Polis di sini menahan seorang penganggur yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah dan mencuri, termasuk di sekolah dan kawasan pusat peranginan di sini dan menemui barangan curi bernilai kira-kira RM40,000.

Ketua Polis Daerah Lundu, DSP Wong Chee Keong berkata lelaki tempatan, 45, ditahan selepas polis menyerbu rumahnya di Kampung Temaga, Sematan, dekat sini, pada pukul 5.30 petang, Rabu lepas (1 September), berdasarkan maklumat orang awam.

Dalam serbuan itu, polis menemui barangan curi seperti peralatan menyelam, peralatan fotografi, barangan elektrik seperti komputer riba, kamera digital, dan pelbagai alat ganti komputer.

"Kami percaya dengan penangkapan lelaki ini, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah dan mencuri di sekitar Lundu, termasuk kes curi di sekolah dan kawasan pusat peranginan yang terletak berhampiran," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Daerah Polis Lundu, kira-kira 100km dari Bandaraya Kuching, Jumaat.

Wong berkata suspek yang merupakan bapa kepada lima anak itu bertindak bersendirian dan kini ditahan reman ntuk membantu siasatan.

"Siasatan awal polis mendapati suspek sudah lama aktif di sekitar daerah Lundu dan kawasan peranginan, Sematan. Kami percaya suspek telah menjual barangan curi kepada pembeli berpotensi. Kami jangka lebih banyak rampasan akan dilakukan dalam usaha kami menemui semula barangan curi," katanya.

Sementara itu, Wong berkata polis menahan seorang remaja berumur 15 tahun dan menemui dua buah motosikal curi, Ahad lalu. Remaja 15 tahun itu dipercayai menjadi pemandu arah dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar Bandaraya Kuching sebelum diseludup ke negara jiran.

"Ketika kejadian, remaja tersebut bersama tiga lagi lelaki warga Indonesia cuba menyeludup dua buah motosikal yang dicuri di sekitar Bandaraya Kuching dengan menaikinya menuju ke Kampung Biawak, sebuah kampung yang terletak di sempadan Sarawak dan wilayah Kalimantan Barat, Indonesia.

"Ketiga-tiga lelaki Indonesia itu berjaya melarikan diri ke kawasan hutan yang berdekatan. Namun, polis telah mengenal pasti identiti suspek dan sedang mempergiatkan usaha untuk mengesan mereka," katanya.

Wong berkata siasatan awal polis mendapati kumpulan tersebut sudah lama aktif dalam operasi mencuri motosikal sekitar Bandaraya Kuching.

"Modus operandi kumpulan ini ialah empat hingga lima orang warga asing itu akan masuk ke sempadan Sarawak dan mencari pemandu arah sebelum mencuri motosikal di sekitar Bandaraya Kuching dan menyeludup motosikal itu ke negara jiran," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain