suria

Pegawai JPJ Berpakaian Preman Rakam Kesalahan Trafik

BUTTERWORTH: Awas pengguna jalan raya di Pulau Pinang! Jika anda terlihat jurukamera bebas merakam gambar di sekitar jalan raya di negeri ini, mereka adalah pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berpakaian preman, merakam kesalahan trafik.

Penolong Pengarah Penguatkuasa JPJ negeri Jamaludin Syarif berkata 243 anggota JPJ akan melakukan rondaan di kawasan berbahaya bagi memantau kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya sempena musim Hari Raya Aidilfitri ini.

"Anggota JPJ juga akan menyamar dengan berpakaian biasa bagi mengambil gambar pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan seperti tidak mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, mengekori kenderaan terlalu rapat serta memandu secara berbahaya", katanya.

JPJ mengadakan pemantauan dan rondaan di 11 laluan yang dianggap sebagai 'sakaratul maut' di Pulau Pinang mulai esok sehingga 19 Sept ini, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang di sini pada Jumaat.

Laluan tersebut adalah Jalan Chain Ferry, Jalan Bagan Ajam, Jalan Permatang Tiga Ringgit, Jalan Bumbung Lima, Jalan Baru Perai, Jalan Permatang Tinggi, Jalan Sungai Bakap, Jalan Nibong Tebal, Jalan Permatang Tinggi, Jalan Permatang Keling dan Lebuhraya Jelutong.

Jamaludin berkata JPJ turut menempatkan anggota di Hentian Bas Sungai Nibong dan Butterworth bagi membuat pemeriksaan terhadap bas-bas ekspres untuk memastikan ia dalam keadaan baik.

Sementara itu Pegawai Cawangan Trafik Pulau Pinang ASP Abdul Ghani Mohd Ali berkata polis negeri akan menumpukan penguatkuasaan di 14 jalan utama sepanjang Ops Sikap ke-22 yang bermula hari ini hingga 17 September ini.

Katanya jalan yang berisiko tinggi berlaku kemalangan ialah empat di Timur Laut, masing-masing tiga di Barat Daya, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan serta satu di Seberang Perai Tengah.

"Seramai 124 anggota trafik akan ditempatkan 24 jam sehari di 14 laluan berkenaan bagi memastikan kadar kemalangan terutama kemalangan maut dapat dikurangkan," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain