suria

Panel Khas Cadang Penambahbaikan IGSO Dari Negara Maju

PUTRAJAYA: Panel khas yang ditubuhkan untuk memantau siasatan kematian Aminulrasyid Amzah, mencadangkan penambahbaikan terhadap Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) dengan memasukkan beberapa pendekatan yang diguna pakai di negara-negara maju.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop berkata cadangan IGSO yang dianggap "sebahagian besarnya" itu, akan dikemukakan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk diteliti, pada akhir bulan ini.

"Cadangan IGSO baru ini setelah kita bandingkan dengan Perintah Tetap yang digunakan oleh anggota-anggota penguatkuasa di negara-negara maju seperti di Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

"Daripada konsep-konsep yang mereka gunakan itu, maka kita buat Perintah Tetap yang sesuai dengan keadaan kita," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat akhir panel khas berkenaan di pejabatnya di sini pada Jumaat.

Pada 25 April lepas, Aminulrasyid mati setelah terkena tembakan yang dilepaskan oleh polis di Seksyen 11 Shah Alam ketika cuba melarikan diri selepas kenderaan dipandunya terserempak dengan kereta peronda polis.

"Apabila menyemak semula IGSO kita, kami juga melihat dokumen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang menggunakan satu garis panduan mengenai penggunaan kekerasan dan senjata api oleh pegawai penguatkuasa undang-undang di seluruh negara," katanya.

Abu Seman, yang juga pengerusi panel, bagaimanapun berkata panel khas itu tidak dapat mendedahkan lebih lanjut berhubung pemantauan mereka terhadap siasatan kes berkenaan kerana ia di peringkat mahkamah sekarang.

Dalam pada itu, beliau berkata panel khas itu mendapati siasatan yang dijalankan oleh polis adalah telus serta adil dan tiada keterangan yang disembunyikan oleh pasukan penyiasat dalam kes berkenaan.

Beliau berkata seorang anggota polis iaitu Koperal Jenain Subi, 48, telah dihadapkan ke mahkamah dan didakwa mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

"Pihak panel ada membuat beberapa perakuan tetapi sebagaimana kita sedia maklum, laporan ini adalah rahsia, jadi kita tidak boleh umumkan sehingga dikemukakan kepada Menteri Dalam Negeri.

"Menteri akan melihat dan teliti laporan yang dikemukakan oleh panel khas ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain