suria

Nasib 14,500 Kakitangan Kontrak Kemas Belum Diputuskan

KUALA PILAH: Nasib 14,500 kakitangan kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), sama ada akan diserapkan ke jawatan tetap atau tidak, akan ditentukan selepas selesai perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata kementerian sedar masalah itu dan sedang berunding dengan JPA untuk mencari penyelesaian terbaik.

"Kita sedang usahakan. Bagaimanapun, ia mengambil masa sebab melibatkan banyak perjawatan termasuk kita hendak gredkan semula jawatan itu.

"Perkara ini masih di peringkat perbincangan dan saya harap kakitangan terbabit supaya bersabar," katanya kepada pemberita pada majlis gema ramadan dan penyampaian sumbangan kepada 52 orang anak yatim dan fakir miskin anjuran Kemas Negeri Sembilan di Masjid Kariah Kuala Jemapoh dekat sini malam tadi.

Hasan juga berkata, Kemas akan membuka 1,000 lagi kelas Tadika pada tahun depan dan untuk itu, ia memerlukan 2,000 lagi guru iaitu 1,000 guru diploma dan 1,000 lagi guru lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, keutamaan pembukaan 1,000 lagi kelas Tadika ini ialah di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Pada masa ini, Kemas mempunyai 8,816 kelas Tadika dengan 10,500 orang guru di seluruh negara.

Ketika berucap pada majlis itu, Hasan berkata, pelaksanaan Model Baru Ekonomi akan memastikan tiada rakyat di negara ini yang hidup dalam kemiskinan dan semua rakyat dapat meningkatkan kualiti hidup serta berkongsi kemakmuran dan kesejahteraan bersama.

"Oleh itu, semua rakyat kita tanpa mengira kaum dan golongan, perlu melakukan transformasi minda dan sikap mulai sekarang untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi bagi meningkatkan kualiti hidup sebagai rakyat bagi sebuah negara maju pada tahun 2020 nanti," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain