suria

Masalah Sosial Boleh Diselesai Dengan Bantuan Media - Shahrizat

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil percaya masalah sosial yang berlaku di kalangan masyarakat sejak akhir-akhir ini boleh diselesaikan dengan bantuan media.

Beliau berkata kerjasama media dalam melaporkan berita mengenai masalah sosial yang berlaku termasuk kes pembuangan bayi diharap akan menyedarkan masyarakat untuk tidak mengulangi perbuatan itu.

"Media juga banyak membantu kementerian mencapai visi dan misinya dengan menyiarkan aktiviti dan usaha kementerian dalam menangani gejala sosial," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa kementerian itu bersama media di sini, Jumaat.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong.

Sementara itu, Shahrizat turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian itu Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur sebagai Ketua Setiausaha kementerian yang baru mulai 19 Sept ini.

"Saya gembira dan percaya perkongsian antara saya, Heng (Senator Heng Seai Kie) dan Noorul akan dapat menentukan perjalanan yang lebih baik di kementerian ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain