suria

Lelaki Cedera Selepas Ditikam Perompak

KUANTAN: Seorang lelaki cedera akibat ditikam semasa bergelut dengan perompak dalam satu kejadian samun berhampiran Dewan Badminton Semambu di sini, Khamis.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata, mangsa, 36, bekerja di sebuah syarikat pengiklanan di Jalan Sekilau cedera didada akibat ditikam oleh perompak dalam kejadian samun di dalam kereta mangsa.

"Dalam kejadian pukul 5 pagi tersebut mangsa yang tinggal di Taman Sri Tahan, Galing di sini, dipercayai baru pulang dari rumah rakannya.

"Ketika mangsa membuka kunci stereng keretanya, tiba-tiba lehernya dicekik dan dadanya diacu sebilah pisau oleh seorang lelaki tidak dikenali sebelum meminta wang.

"Mangsa yang panik terus mengeluarkan dompetnya sebelum cuba melawan mempertahankan diri namun akibat tindakannya itu, dada sebelah kirinya ditikam suspek," katanya.

Noor Asyikin berkata, ekoran kejadian tersebut mangsa kehilangan wang tunai sebanyak RM800, dokumen pengenalan diri serta beberapa kad bank.

"Kita percaya sebelum kejadian terbabit suspek itu sudah lama berada di dalam kereta mangsa dan hanya menunggu mangsa memasukinya.

"Mangsa kini disahkan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain