suria

Proses Damai Filipina-MILF: Malaysia Terus Diberi Peranan

KUALA LUMPUR: Malaysia mengucapkan terima kasih dan menghargai keputusan Filipina memberi kepercayaan kepadanya untuk terus memainkan peranan dalam proses rundingan damai antara kerajaan negara itu dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF). Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia akan memberi pertimbangan serius terhadap permintaan negara itu untuk terus menjadi pemudahcara dalam proses rundingan damai berkenaan.

Beliau menyatakan perkara itu kepada Penasihat Presiden Filipina mengenai Proses Damai, Teresita Quinto-Deles, yang mengunjungi beliau di sini semasa penasihat itu dalam rangka lawatan dua hari ke negara ini.

Dalam kenyataannya, Wisma Putra berkata nifah dan Teresita juga berbincang tentang penyambungan semula rundingan damai Filipina-MILF, yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan bulan ini.

Wisma Putra berkata pada pertemuan itu juga Teresita memaklumkan kepada Anifah tentang keputusan Filipina untuk mengekalkan Malaysia sebagai pemudahcara pihak ketiga dalam proses rundingan damai berkenaan.

Malaysia bertindak sebagai pemudahcara pihak ketiga dalam rundingan damai itu sejak 2001 dan mengetuai Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) di Mindanao, selatan Filipina, sejak 2004.

Sebagai jiran terdekat Filipina dalam Asean, Malaysia memainkan peranan positif dalam menggalakkan penyelesaian secara aman melalui rundingan damai berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain