suria

Penolong Pengarah Jabatan Tanah Dan Galian Dituduh Menipu

KUALA LUMPUR: Seorang Penolong Pengarah dari Jabatan Tanah dan Galian di Putrajaya pada Khamis, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua tuduhan terlibat dalam pemalsuan butiran dalam dokumen dan satu tuduhan menipu tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Nadzri Mohd Radzi, 27, didakwa dengan niat memperdayakan butiran dalam dokumen iaitu invois M Suites Hotel bagi pakej penginapan makan dan minum bagi kursus budaya kerja cemerlang kumpulan pengurusan Zon Selatan dan Putrajaya bertarikh 13 hingga 15 Mei 2009 di hotel itu berjumlah RM20,010 sedangkan jumlah sebenar pakej itu adalah RM10,810.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Wisma Sumber Asli, Putrajaya, pada Mei 2009.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 24 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda RM10,000 jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Nadzri didakwa dengan niat mengesahkan butiran palsu dalam dokumen iaitu pesanan kerajaan bertarikh 17 April 2009 berjumlah RM18,360 bagi pakej penginapan makan dan minum bagi kursus budaya kerja cemerlang kumpulan sokongan Zon Utara dan Zon Timur dari 22 hingga 24 April 2009 di The Regency Hotel, Alor Setar, yang mana jumlah sebenar bayaran yang dikenakan oleh hotel itu adalah RM10,462.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 18 ASPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda RM10,000, jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Mohd Nadzri didakwa menipu kerajaan Malaysia dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan), Putrajaya, dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai bahawa kos penganjuran seminar Kursus Budaya Kerja Cemerlang Kumpulan Sokongan Zon Utara dan Zon Timur pada 22 hingga 24 April 2009 adalah RM18,360, di mana kos penganjuran seminar yang sebenar adalah RM10,462, sehingga mendorong mereka membuat pembayaran lebihan berjumlah RM7,898 kepada PKNK Hotel Sdn Bhd, pemilik kepada The Regency Hotel, Alor Setar.

Pertuduhan kedua dan ketiga didakwa dilakukan di Pejabat Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Wisma Sumber Asli, Presint 4, Putrajaya, pada April 2009.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun, atau denda, atau kedua- duanya, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Hung Heng Hong, menawarkan jaminan RM15,000 dikenakan terhadap tertuduh bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Mohd Nadzri, yang tidak diwakili peguam, kemudiannya memohon agar jaminan itu dikurangkan kerana dia tidak bekerja dan mempunyai ibu bapa yang sudah tua.

"Wang jaminan itu terlalu tinggi, saya tidak mampu dan saya mohon supaya jaminan itu dikurangkan kerana wang tersebut adalah simpanan orang tua saya untuk mengerjakan haji," katanya.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Okt ini untuk sebutan kes.

Kakak Mohd Nadzri membayar wang jaminan itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain