suria

Pastikan Golongan Sasar Terima Bantuan, Kata Raja Nong Chik

PUTRAJAYA: Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata setiap warga kerja kementerian merupakan ejen penting bagi memastikan golongan sasaran menerima skim-skim bantuan yang diberikan dalam usaha menghapuskan kemiskinan bandar. Beliau berkata di samping menghulurkan bantuan secara berterusan, keupayaan golongan miskin bandar perlu ditingkatkan bagi membolehkan mereka menjana pendapatan mereka sendiri.

"Usaha ini hanya akan dapat direalisasikan dengan komitmen padu daripada seluruh warga kementerian serta agensi-agensinya," katanya semasa merasmikan Majlis Nur Ramadhan anjuran kementerian itu di sini Khamis.

Raja Nong Chik berkata warga kementerian perlu melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka secara terbaik bagi mencapai hasil kerja lebih berimpak tinggi.

Kira-kira 700 tetamu, terdiri daripada warga kementerian dan agensi-agensinya iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTG) dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) menghadiri majlis itu.

Raja Nong Chik turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai berjumlah RM150 dan baucer tunai kepada 181 petugas Kumpulan Sokongan II kementerian, bertujuan meringankan beban serta membolehkan mereka membuat persiapan sempena sambutan Aidilfitri ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain