suria

Mahkamah Tolak Rayuan Pendakwaan Berhubung Pembebasan Koh Kim Teck

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan Khamis, menolak rayuan pihak pendakwaan berhubung pembebasan ahli perniagaan Koh Kim Teck daripada pertuduhan membunuh seorang remaja warga China enam tahun lepas, ekoran pihak pendakwaan gagal memastikan Koh hadir di mahkamah semasa rayuan ditetapkan untuk didengar.

Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Hasan Lah dan Hakim Datuk Ahmad Maarop turut membatalkan waran tangkap ke atas Koh yang dikeluarkan pada 24 Ogos tahun lepas oleh Mahkamah Rayuan berdasarkan permohonan pihak pendakwaan.

Pihak pendakwaan gagal menyerahkan waran tangkap itu kerana gagal mengesan di mana Koh berada.

Sebelum menolak rayuan itu, Hakim Suriyadi bertanya kepada Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof tentang berapa kali waran tangkap tidak dapat diserahkan kepada Koh dan dimaklumkan lebih tiga kali.

"Ini keputusan mahkamah, waran tangkap terhadap responden kedua (Koh) dibatalkan dan rayuan terhadap Koh dibatalkan. Kes ini berlarutan terlalu lama dan berpanjangan. Sama ada awak (pihak pendakwaan) tidak buat apa-apa atau tidak boleh buat apa-apa," katanya.

Pihak pendakwaan merayu terhadap pembebasan Koh, 56, Resty Agpalo,38, dan Mohamad Najib Zulkifli, 30, daripada pertuduhan membunuh anak saudara Koh, Xu Jian Huang, 14, seorang pelajar, di sebuah banglo di Jalan Mengkuang off Jalan Ampang, Kuala Lumpur, antara 11 malam, 26 Sept, 2004 dan 3.30 pagi hari berikutnya.

Ketiga-tiga mereka dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 20 Sept, 2005 tanpa memanggil mereka untuk membela diri.

Pada Khamis, mahkamah dijadual mendengar rayuan pihak pendakwaan berhubung pembebasan ketiga-tiga mereka. Pendengaran rayuan itu telah ditangguhkan beberapa kali kerana Koh tidak hadir.

Menurut Ishak, Koh telah tidak hadir sebanyak tujuh kali dalam pendengaran rayuan itu yang awalnya ditetapkan pada 14 Mac, 2007, dan telah ditangguhkan beberapa kali ekoran kegagalan Koh hadir di mahkamah pada tarikh yang ditetapkan mahkamah.

Pada prosiding sebelum ini, mahkamah diberitahu Koh dimasukkan di Hospital Lian Tang di Shen Zheng City, China, sepertimana dicatatkan dalam sijil cuti sakit bertarikh 25 Okt, 2007, kerana serangan jantung jenis reumatisme dan darah tinggi.

Koh tidak diwakili kerana peguam Datuk V.Sithambaram telah menarik diri daripada mewakili ahli perniagaan itu.

Agpalo dan Mohamad Najib yang diwakili peguam Gobind Singh Deo, hadir di mahkamah.

Mahkamah menetapkan 1 Nov untuk mendengar rayuan terhadap pembebasan Agpalo dan Mohamad Najib selepas Ishak memaklumkan mahkamah yang pihak pendakwaan mahu meneruskan rayuan itu walaupun mahkamah telah membatalkan rayuan terhadap Koh.

Sebelum mahkamah mendengar rayuan itu, ia akan mendengar dua usul yang difailkan oleh Agpalo dan Mohamad Najib.

Usul utama ialah permohonan untuk mengemukakan keterangan baru oleh Phang Shui Jin, pembantu rumah warga China yang bekerja dengan Koh, yang berada di tempat kejadian dan permohonan kedua untuk membatalkan pertuduhan dan rayuan itu atas alasan ia melanggar proses mahkamah. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain