suria

Lelaki Sakit Mental Cederakan Polis Diarah Ke Hospital Bahagia

KLANG: Seorang lelaki yang mengidap sakit mental dibebaskan dari tuduhan mencederakan seorang anggota polis menggunakan pisau pada Mac lepas. Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Sesyen Klang Yong Zarida Sazali memerintahkan tertuduh Tan Liok Chon, 47, ditahan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak selama perkenan Sultan Selangor.

Yong yang membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan, berkata mahkamah mendapati Tan tidak waras dan tidak mengetahui tindakannya itu menyalahi undang-undang semasa kejadian.

Tan yang tidak diwakili peguam dituduh menikam Korporal Hasnor Hadi Zainal pada pukul 2 pagi, 27 Mac lalu di sebuah kedai makan di Batu 15 Jalan Klang Banting Jenjarom dengan sebilah pisau yang boleh menyebabkan kematian.

Dia dituduh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan dan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Noorbayah Jamil. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain