suria

Selangor Pecat Boon Hock Sebagai Ahli Majlis MPK

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor hari ini memutuskan untuk memecat Tee Boon Hock daripada jawatan sebagai anggota Majlis Perbandaran Klang (MPK), berkuatkuasa Jumaat lepas.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid berkata keputusan itu diambil selepas kerajaan negeri berpuas hati dengan hasil siasatan yang mendapati Tee melakukan perbuatan yang menyalahi etika dalam pengeluaran surat sokongan bagi mendapatkan peluang perniagaan.

"Saya sudah memaklumkan keputusan ini kepada Yang Dipertua MPK dan meminta beliau membuat tindakan yang sewajarnya," katanya pada satu persidangan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di sini pada Rabu.

Beliau berkata kerajaan Selangor juga menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat sekiranya terdapat unsur-unsur jenayah dalam kes berkenaan.

Tee sebelum ini dikaitkan dengan kes menggunakan kepala surat dan cap rasmi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Kajian Selangor Ronnie Liu untuk mengeluarkan surat sokongan buat kroni dan anggota keluarganya bagi mendapatkan kontrak Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Tee, yang menafikan perkara itu, diarahkan bercuti oleh kerajaan negeri pada 29 Julai lepas sementara siasatan dilakukan, dan beliau juga dipecat daripada parti pada 31 Julai lepas.

Ditanya mengenai seorang lagi anggota majlis MPK yang didakwa turut terbabit dalam kes serupa, Abdul Khalid berkata perkara itu akan disiasat dan tindakan yang sama akan dikenakan sekiranya individu terbabit didapati bersalah.

"Saya akan rujuk perkara ini kepada YDP MPK, sekiranya berlaku perkara yang sama, kami akan ambil tindakan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain