suria

Polis Cari Pembantu Rumah Dipercayau Dera Bayi 15 Bulan Hingga Mati

SERDANG: Polis sedang menjejaki seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai mendera sehingga mati anak lelaki tunggal majikannya di sebuah rumah di Pusat Bandar Puchong Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abdul Razak Elias berkata Tan Jin Yong, 15 bulan, didapati mati dipercayai akibat dicekik pembantu rumah, Rita Rohayati, 25, dari Majalingka, Jawa Barat pada kira-kira pukul 4 petang pada hari kejadian.

Polis diberitahu pembantu rumah itu menghubungi bapa bayi itu, Tang Meng Kiang, 40, untuk memaklumkan bahawa anaknya tidak sedarkan diri.

"Bapanya yang bekerja ketika itu meminta bapa saudara bayi itu untuk menghantar anaknya ke hospital.

"Semasa bayi itu dihantar ke sebuah hospital swasta di Bandar Puteri, Puchong, dia sudahpun meninggal dunia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Cegah Jenayah & Balik Kampung Sempena Aidilfitri Peringkat Taman Sri Serdang dan majlis berbuka puasa bersama media di Balai Polis Sri Serdang dekat sini.

Abdul Razak berkata pembantu rumah itu, yang turut mengikut ke hospital, kemudian menghilangkan diri.

Abdul Razak berkata polis pada mulanya mengklafikasinya kes itu sebagai kematian mengejut tetapi menukarkannya kepada kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh setelah menerima laporan bedah siasat yang menunjukkan adanya unsur jenayah pada anggota badan mangsa.

"Seorang pekerja hospital swasta itu menghubungi polis memaklumkan terdapat unsur jenayah yang mengakibatkan kematian bayi itu," katanya.

Beliau berkata hasil bedah siasat yang dijalankan di hospital itu mendapati kanak-kanak itu turut mengalami pendarahan dalam otak dan jangkitan kuman pada paru-paru.

Abdul Razak berkata selain mengalami pendarahan dalaman, siasatan mendapati terdapat kesan lama keretakan pada tulang kaki bayi itu, juga dipercayai akibat didera.

"Kita minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pembantu rumah yang sudah berkhidmat sejak setahun tujuh bulan itu, untuk menghubungi Balai Polis Serdang di talian 03-89482222 atau ke balai-balai berhampiran. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain