suria

Pengawal Keselamatan Jumpa Bayi Dalam Tong Sampah

MELAKA: Seorang pengawal keselamatan sebuah kilang di Ayer Keroh di sini menemui seorang bayi perempuan di dalam sebuah tong sampah berhampiran tempat kerjanya, awal pagi tadi.

Mohd Asri Shaari, 44, berkata beliau yang ketika itu baru lepas bersahur di kantin kilang, memeriksa tong sampah berkenaan selepas terdengar suara tangisan bayi pada kira-kira pukul 5.15 pagi.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di sini beliau berkata selepas diperiksa beliau menemui bayi yang masih bertali pusat itu dalam sebuah beg di dalam tong sampah tersebut.

Katanya beliau terus menghubungi polis, dan bayi itu kini berada di Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Mohd Adnan Abdullah berkata polis sudah menahan seorang remaja lelaki dan remaja perempuan yang bekerja di kilang berkenaan, bagi membantu siasatan.

Katanya kedua-dua mereka yang berumur 18 tahun dan berasal dari Gemas, Negeri Sembilan itu dipercayai pasangan kekasih yang baru bekerja di kilang berkenaan sejak sebulan lalu.

"Kedua-dua suspek direman mulai hari ini sehingga Sabtu ini dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain