suria

PDRM Tunggu Pengesahan Penahanan Soosai Di India

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima sebarang pengesahan berhubung penahanan seorang lelaki yang didakwa sebagai penjenayah Malaysia, Michael Soosai, yang dilaporkan diberkas di Chennai, India, pada Khamis lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata sehingga kini, tiada pengesahan dibuat oleh polis India yang mengenal pasti lelaki itu sebagai Soosai walaupun ketika ditahan lelaki itu menggunakan nama Karuna Raj.

"Secara rasmi, saya belum terima apa-apa, dan saya telah arahkan supaya Interpol kita menghubungi rakan kita di India supaya mereka dapat berikan cap jari lelaki itu bagi memastikan sama ada dia adalah Michael Soosai, kerana lelaki ini dikehendaki (di India) berhubung dakwaan membunuh," katanya kepada pemberita pada pelancaran Ops Sikap ke-22 di Menara Telekom di sini, Rabu.

Selain kes pembunuhan di Selatan India, Soosai juga dikehendaki oleh polis Malaysia kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes penipuan membabitkan hampir RM1 juta.

Soosai, 47, bersembunyi sejak hampir 10 tahun lalu setelah didakwa memalsukan kematiannya di Malaysia. Dia didakwa membunuh seorang rakyat Malaysia, N. Subramaniam di Cheyyur, dalam daerah Kancipuram di India pada 2002.

Musa berkata, sekiranya lelaki itu disahkan sebagai Soosai, polis Malaysia akan membantu pihak berkuasa India untuk menjalankan siasatan.

Ketika diminta mengulas mengenai Wee Meng Chee atau yang dikenali sebagai Namewee berhubung klip video terbarunya yang didakwa berunsur perkauman, Musa berkata, kes itu akan dirujuk kepada Peguam Negara setelah siasatan selesai.

Wee, 27, yang pernah mencetuskan kontroversi dengan klip video lagu "Negarakuku" telah memberi keterangan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail di sini pada 9.20 malam Selasa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain