suria

Pang Keluar LDP, Tawar Letak Jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Peter Pang En Yin hari ini mengumumkan keputusannya keluar daripada Parti Liberal Demokratik (LDP) dan juga menawarkan untuk melepaskan semua jawatan dalam kerajaan kerana tidak setuju dengan pendirian parti itu menentang kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

"Satu-satunya jalan yang boleh saya ambil ialah meninggalkan parti dengan cara terhormat,"katanya kepada pemberita bagi merujuk kepada keputusan LDP yang mengumumkan ia tidak boleh bekerjasama dengan Musa, yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional Sabah.

Katanya surat peletakan jawatannya dialamatkan kepada Presiden LDP Datuk Liew Vui Keong telah dihantar ke ibu pejabat parti itu oleh setiausaha politik beliau pagi tadi.

Pang, yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah, turut menawarkan untuk meletak semua jawatan dalam kerajaan tetapi tidak sebaagai Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Karamunting.

"Saya difahamkan tindakan saya meninggalkan LDP akan menjejaskan jawatan saya dalam kerajaan dan apa yang saya akan lakukan ialah menawarkan untuk meletakkan jawatan tetapi akan terus berkhidmat di bawah kepimpinan Datuk Seri Musa Aman, selaku wakil rakyat BN.

"Oleh kerana tujuan utama saya ialah untuk berkhidmat kepada rakyat, saya akan meminta Datuk Seri Musa Aman membimbing saya," katanya sambil menjelaskan beliau merancang untuk bertemu Musa hari ini.

Pang yang kelihatan sedih pada sidang akhbar itu, berkata beliau telah memaklumkan terlebih dahulu kepada Liew tentang keputusannya itu dan telah menjelaskan kepada Presiden LDP itu mengenai sebab beliau meninggalkan parti itu.

Katanya beliau tidak hadir pada mesyuarat BN Sabah dan tidak dirujuk berhubung keputusan untuk menentang Musa.

"Sekiranya saya dimaklumkan, saya tentu akan memberi cadangan agar melupakan sahaja perkara itu, demi kepentingan rakyat, untuk melihat keamanan dan kestabilan dalam kerajaan BN bagi mencapai kemajuan," katanya.

Pang enggan mengulas sama ada beliau akan menyertai parti BN yang lain.

Pada Ahad lepas, Liew yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang juga tidak hadir pada mesyuarat BN 24 Ogos, berkata beliau bersedia bertemu Musa berhubung pendirian LDP itu.

Pang dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah pada Mei tahun lepas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain