suria

Mercun Bernilai RM10,000 Dirampas Setelah Kereta Terbabas

BESUT: Polis Besut berjaya merampas sejumlah mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM10,000 dari dalam sebuah sebuah kereta yang dinaiki dua suspek selepas terbabas ketika dikejar polis di Jalan Kampung Raja-Kuala Terengganu di sini petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Supritendan (DSP) Noor Zainy Mohd Noor berkata kejadian berlaku pukul 3.30 petang selepas polis menerima maklumat menyatakan sebuah kereta Proton Saga dinaiki dua lelaki berada dalam keadaan mencurigakan di sekitar Benting Lintang menghala ke Kuala Terengganu.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis yang diketuai Inspektor Muhammad Zaki Ramat membuat intipan dan mengekori kereta berkenaan, tetapi setelah menyedari mereka diekori, suspek telah memecut keretanya ke arah Kuala Terengganu.

"Sampai di tempat kejadian kereta yang dipandu suspek terbabas ke tepi jalan dan kedua-dua mereka berjaya melarikan diri ke dalam semak berhampiran," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Noor Zainy berkata antara jenis mercun dan bunga api yang dirampas dari kereta suspek ialah Crazy Robots (64 kotak), Attilery Shell 1.5 A8004 (24 kotak), Happy Boom (33 kotak), mercun katak 8305 (18 kotak) dan Crackling Ground Bloom Flower (45 kotak).

Usaha untuk menjejak suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran jika mempunyai maklumat berkenaan dua lelaki terbabit.

Beliau berkata siasatan awal mendapati bekalan mercun itu dipercayai diperoleh dari negara jiran untuk dijual di sekitar daerah Besut.

Noor Zainy berkata kereta suspek kini ditahan di ibu pejabat polis Kampung Raja.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Letupan 1957 yang jika sabit kesalahan pesalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain