suria

Jumlah Pemilih Berdaftar Meningkat 11.4 Juta - SPR

PUTRAJAYA: Jumlah pemilih berdaftar di seluruh negara kini meningkat kepada 11,381,193 orang dengan pewartaan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) suku kedua tahun ini yang mengandungi 191,970 pemilih pada Rabu.

Pengerusi Jawatankuasa Panel Pendaftaran dan Penyediaan Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Zainal Abidin Mat Said berkata DPT bagi tempoh 1 April hingga 30 Jun itu terdiri daripada 164,821 permohonan pemilih baru dan 27,149 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi.

"Dalam masa yang sama SPR telah Mengeluarkan sebanyak 58,303 orang pemilih daripada rekod pemilih berdaftar atas sebab-sebab seperti meninggal dunia dan dilucut hak warganegara," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Zainal Abidin berkata, bagi DPT suku pertama tahun ini, seramai 157,327 pemilih telah didaftarkan dengan 134,298 daripadanya adalah pemilih baru manakala 23,029 merupakan permohonan pertukaran pusat mengundi, menjadikan jumlah pemilih berdaftar pada ketika itu adalah 11,247,525 orang.

Beliau berkata, pendaftaran pemilih pada tahun ini juga mencatatkan peningkatan mendadak daripada tahun lalu, yang mencatat purata 85,000 pemilih pada setiap suku.

Dengan itu, jumlah pemilih yang layak tapi masih belum berdaftar kini berjumlah 2,241,565 orang dan SPR akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mencapai sasaran untuk mengurangkan kadar itu kepada sekurang-kurangnya 50 peratus, katanya.

Zainal Abidin berkata sepanjang tempoh pameran DPT itu dari 20 hingga 26 Julai, SPR menerima 495 bantahan daripada Bahagian Parlimen P27 Tanah Merah, Kelantan, yang masih belum diselesaikan sehingga kini, menyebabkan 1,004 permohonan baru dan 67 pendaftaran pertukaran alamat pusat mengundi bagi kawasan itu tidak dapat disahkan.

Beliau berkata, SPR juga menerima 20 bantahan di Bahagian Parlimen P38 Hulu Terengganu, Terengganu, selain 1,801 tuntutan yang melibatkan 48 Bahagian Pilihan Raya Parlimen, di mana kesemuanya telahpun diselesaikan.

"Orang ramai yang berminat untuk membeli DPT Suku Kedua ini boleh membuat tempahan di Ibu Pejabat SPR di sini dan sebarang pertanyaan berkaitan hal ini bolehlah dibuat dengan menghubungi talian 03-8885 6500 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri," katanya.

Sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-10 dan pilihan raya umum ke-13 akan datang, Zainal Abidin berkata, pemilih berdaftar dinasihatkan membuat semakan maklumat bagi memastikan mereka berdaftar di lokaliti yang betul.

Beliau berkata, ia bagi mengelakkan tohmahan atau dakwaan bahawa SPR memindahkan pemilih ataupun menukar lokaliti seseorang pemilih tanpa dipohon.

"Jika keadaan ini berlaku menjelang sesuatu pilihan raya, SPR tidak dapat mengambil tindakan sewajarnya kerana masa yang singkat," katanya.

Zainal Abidin berkata, sekiranya terdapat kesilapan penempatan lokaliti serta maklumat pendaftaran mereka, pemilih berdaftar perlu membuat aduan kepada SPR melalui Sistem Aduan SPR di www.spr.gov.my atau menulis surat atau datang sendiri ke mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Ibu Pejabat SPR di sini.

Beliau juga mengharapkan kerjasama waris kepada pemilih berdaftar yang telah meninggal dunia agar dapat melaporkan kematian berkenaan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan segera bagi membolehkan SPR mengambil tindakan susulan mengeluarkan nama pemilih dari Daftar Pemilih.

Pemilih berdaftar yang sudah bertukar alamat tempat bermastautin juga digalakkan membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi di mana-mana pejabat pos berkomputer, kaunter-kaunter bergerak SPR, kaunter ibu pejabat SPR di sini atau kaunter di Pejabat Pilihan Raya Negeri, bagi membolehkan mereka mengundi di pusat mengundi yang berdekatan dengan kediaman, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain