suria

Guru Disiplin Mohon Maaf Keluarkan Kata-kata Berunsur Rasis

GEORGE TOWN: Seorang guru disiplin sebuah sekolah menengah di Bukit Jambul dekat sini yang mengeluarkan kata-kata berunsur rasis dan kasar ke atas lima orang muridnya telah memohon maaf di atas keterlanjurannya itu.

Sehubungan dengan itu, ibu-bapa kepada murid-murid yang terlibat yang turut hadir dalam satu majlis pertemuan antara pihak sekolah dengan mereka hari ini telah menerima permohonan maaf tersebut tanpa prejudis.

Majlis pertemuan selama dua jam itu telah diaturkan dengan kerjasama Persatuan Ibu-Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak pengurusan sekolah.

Salah seorang daripada ibu-bapa yang hadir dalam sesi pertemuan dari hati ke hati itu berkata, mereka percaya kepada niat baik dan konsep maaf memaafkan serta berharap kejadian itu tidak akan berulang lagi.

Bagaimanapun adalah difahamkan, ketika pertemuan itu berlangsung, guru disiplin terlibat tidak ada di sekolah kerana menghadiri satu program anjuran Jabatan Pelajaran Negeri.

Namun pernyataan minta maafnya telah disampaikan melalui seorang guru kanan sekolah berkenaan.

Pada Selasa lalu, pihak media melaporkan satu insiden yang melibatkan seorang guru disiplin yang mengeluarkan kata-kata kesat dan berunsur rasis ke atas lima orang murid sekolah berkenaan ketika perayaan prasambutan hari kemerdekaan yang berlangsung di sekolah itu Khamis lalu.

Guru berkenaan khabarnya berasa kecewa apabila arahannya supaya murid-murid berkenaan memakai pakaian kebangsaan kaum masing-masing tidak dipatuhi sebaliknya mereka memakai jippa, kurta dan cheongsam bersama seluar jeans.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Ibrahim Mohamad mengesahkan bahawa guru berkenaan telah diberikan memo di atas keterlanjurannya itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain