suria

Mayat Warga Asing Dipercayai Dibunuh Ditemui

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki, dipercayai warga asing, ditemui mati dibunuh di Jalan 10, Kawasan Perindustrian, Taman Ehsan Jaya di sini petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata mayat lelaki itu ditemui dalam karung guni berwarna putih oleh seorang kontraktor sampah pada 5.50 petang setelah terhidu bau yang amat busuk di kawasan berkenaan.

"Identiti mangsa belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan dijumpai pada tubuh mangsa. Mangsa berumur lewat 40-an, berseluar jeans dan berbaju T warna hitam ketika ditemui, dengan kecederaan ditetak di kepala, pipi dan lengan," katanya.

Beliau berkata kontraktor sampah yang menemui mayat itu selepas terhidu bau yang sangat busuk di kawasan berkenaan, bertindak melaporkan perkara itu kepada polis selepas tidak berani membuka bungkusan guni terbabit.

Katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh, sehubungan itu, mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan kes berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain