suria

Klip Video Namewee: Muafakat Buat Laporan Polis

KUANTAN: Permuafakan NGO Melayu Pahang Bersatu (MUAFAKAT) hari ini membuat laporan polis terhadap pemuda dari Muar Johor, Wee Meng Cheng atau lebih dikenali "Namewee" ekoran perbuatannya menghasilkan klip video yang boleh menyemarakkan api perkauman.

Laporan itu dibuat oleh Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong yang mewakili 15 NGO terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini.

Namewee sebelum ini pernah mencetuskan kemarahan rakyat dengan klip videonya berjudul Negarakuku.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Wan Emril berkata apa yang dilakukan Namewee merupakan satu bentuk provokasi yang disengajakan selain jelas menunjukkan pemuda itu tidak insaf meskipun pernah memohon maaf atas kesalahannya mengubah lirik lagu Negaraku kepada Negarakuku suatu ketika dahulu.

"Jangan bagi muka kepada individu seperti ini kerana tindakannya itu jelas menimbulkan kemarahan serta keresahan di kalangan rakyat," tegasnya.

Antara 15 NGO terbabit ialah GPMS Pahang; Wira Perkasa Pahang; Alumni Graduan Muda Pahang; Majlis Belia Daerah; Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris); Majlis Guru Pahang dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

Di PUTRAJAYA, satu lagi laporan polis dibuat terhadap Namewee oleh pergerakan Wiranita Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, berhubung video klip berbaur perkauman yang dihasilkan pemuda itu.

Ketuanya, Raihan Suleiman Pelastin berkata laporan polis dibuat setelah mendapati senikata lagu Negarakuku dalam laman web Youtube itu mempunyai unsur hasutan dan fitnah ketika beliau melayari laman web berkenaan di rumahnya dua hari lepas.

"Penyebaran video klip berbaur hasutan melalui laman web Youtube ini adalah terlalu bahaya kerana ia mudah meresap ke dalam jiwa golongan muda yang gemar mendengar muzik dan irama," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Sebelum ini, empat laporan polis telah dibuat di Muar, Johor terhadap Namewee berhubung klip video tersebut yang didakwa berunsur perkauman serta menggunakan perkataan tidak senonoh.

Sementara itu, di SHAH ALAM, Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin sekiranya Namewee mahu mengetahui bagaimana untuk belajar menjadi warganegara Malaysia yang baik dia perlu mula menghormati negara sendiri dan tidak menggunakan perkataan lucah.

"Ini adalah perbuatan kedua, perbuatan yang pertama beliau sudah dimaafkan. Kita terguris kerana sekali lagi beliau lakukan perkara itu.

"Kita mahu ada tindakan supaya ia tidak menjadi satu keadaan yang kononnya biasa berlaku terutama di kalangan orang muda dan supaya ia menjadi pengajaran bahawa apa yang dilakukan memang salah.

"Beliau membakar sentimen perkauman. Sekiranya kita lihat contoh negara lain, kita pernah melihat kemusnahan negara akibat sentimen perkauman. Jangan lakukan di Malaysia kerana Malaysia tidak perlukan ini," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 30 penerima asnaf di Bangunan Umno Selangor hari ini.

Mengulas cabaran Namewee supaya beliau berdebat mengenai isu klip video bersifat perkauman yang dihasilkan pemuda itu, Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata beliau tidak berminat melayan cabaran tersebut.–BERNAMA

Artikel Lain