Hayati Kemerdekaan, Jadikannnya Kekal Selamanya– Muhyiddin - Semasa | mStar

Hayati Kemerdekaan, Jadikannnya Kekal Selamanya– Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu para pelajar menghayati dan memahami erti kemerdekaan dengan penuh keinsafan agar mereka mampu menggalas tanggungjawab dalam menjadikan kemerdekaan milik selama-lamanya.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran dalam perutusannya sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-53 hari ini, mahu warga pendidik dan murid-murid bersatu hati serta berusaha mengekalkan kemerdekaan demi kemakmuran dan kegemilangan negara, tanpa mengira kaum dan warna kulit dan dengan semangat perpaduan jitu.

Katanya perjuangan dan pengorbanan tokoh dan pemimpin terdahulu seperti Panglima Rentap, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan wajar dihargai dan dihayati.

Muhyiddin berkata keberanian dan kecekalan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan itu wajar dihayati dan dihargai kerana sifat kepahlawanan mereka telah membawa kebebasan hari ini untuk mencorakkan masa depan negara tercinta.

"Telah tiba masanya untuk kita pula menyambung perjuangan mereka dalam mengekalkan keamanan dan kemerdekaan negara. Kita juga perlu mempertahankan kedaulatan tanah air kita ini dengan sebaik mungkin agar anak-anak dan generasi seterusnya akan turut dapat mengecapi kebebasan seperti mana yang kita miliki sekarang.

"Janganlah nanti kita pula yang menjadi penyebab kehilangan kebebasan ini untuk dinikmati oleh generasi masa hadapan," katanya.

Muhyiddin berkata dasar-dasar baru yang diperkenalkan kementerian serta pelbagai program dan aktiviti dijalankan, menjurus kepada usaha memupuk perpaduan di kalangan para pelajar sejak di peringkat awal persekolahan lagi.

"Saya percaya murid-murid daripada pelbagai kaum dan latar belakang tidak menghadapi masalah untuk belajar bersama-sama di dalam satu bilik darjah, bersama-sama menyertai acara sukan dan kokurikulum, serta bersama-sama menyokong pasukan rumah masing-masing tanpa mengira perbezaan warna kulit," katanya.

Beliau berkata penglibatan pelajar pelbagai kaum dalam aktiviti berkenaan memberi ruang cukup luas kepada mereka untuk berinteraksi secara langsung dan seterusnya mewujudkan persefahaman di antara mereka.

"Perpaduan sebenarnya telah pun terjalin di kalangan murid-murid melalui aktiviti-aktiviti ini secara tidak langsung dan tanpa kita sedari. Inilah yang perlu terus dipupuk dan dijaga dengan sebaik mungkin kerana murid-murid merupakan bakal pemimpin negara satu hari nanti," katanya.

Muhyiddin berkata pihak sekolah dan guru perlulah menggunakan kebijaksanaan serta lebih kreatif dalam menyusun aktiviti-aktiviti di dalam dan luar bilik darjah, serta menjurus kepada penglibatan semua murid agar matlamat untuk pemupukan perpaduan dapat dicapai. -BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

Artikel Lain

Zidane dedah buat kesilapan besar musim ini