suria

Dua Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kes Menyamar TMJ Dalam Facebook

KLUANG: Polis menahan dua lelaki awal Selasa bagi membantu siasatan berhubung kes menyamar sebagai Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim pada laman web sosial Facebook baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kedua-dua lelaki berumur 31 dan 33 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.30 pagi di sebuah rumah di Taman Seri Majidee, Johor Baharu.

"Kedua-dua mereka ditahan oleh pasukan khas yang ditubuhkan khusus bagi menyiasat kes itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, di sini, Selasa.

Mohd Mokhtar berkata polis merampas dua komputer riba dan sebuah telefon bimbit daripada kedua-dua mereka.

"Polis kini mengambil keterangan daripada kedua-dua mereka. Kami nak tahu siapa yang memberi maklumat mengenai Tunku Mahkota Johor kepada mereka dan jaringan yang terlibat," katanya.

Polis memulakan siasatan kes itu setelah menerima laporan mengenai terdapat beberapa akaun termasuk "Diari Harian Tunku Mahkota Johor", "Tengku Ismail" dan "Tunku Mahkota Johore (Penasihat Utama TMJ)" dikesan pada Facebook yang dipercayai dikendalikan seorang individu bergelar "Miky".

Selain memuat naik gambar dan aktiviti Tunku Ismail, individu itu juga melayan komen-komen peminat yang menyangkakan dirinya ialah TMJ.

Sementara itu dalam kes berasingan, Mohd Mokhtar berkata polis menumpaskan sindiket mencuri motosikal yang aktif di sekitar bandar ini dan Batu Pahat apabila menahan lapan lelaki di Simpang Renggam, di sini dan Parit Raja, Batu Pahat, Khamis lepas.

Beliau berkata kesemua mereka yang berumur 20 hingga 30 tahun itu dipercayai terlibat dengan sekurang-kurangnya 27 kes curi motosikal di sekitar Simpang Renggam, Ayer Hitam, Yong Peng dan Johor Baharu.

"Polis merampas komponen motosikal yang telah dileraikan, satu motosikal jenis Yamaha Lagenda yang dilaporkan hilang di Parit Raja tiga tahun lepas, 18 motosikal yang telah diganggu nombor enjin dan chasis, 13 keping nombor pendaftaran serta alatan mencuri," katanya.

Beliau berkata enam daripada lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah berkaitan curi motosikal dan dadah. - BERNAMA

Artikel Lain