suria

Dahulukan Penstrukturan Air Selangor, Kemudian Projek Langat 2

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor hanya akan meneruskan projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) selepas perbincangan penstrukturan semula industri air dengan pemegang konsesi swasta dan agensi persekutuan diselesaikan dengan baik.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri tidak pernah membantah projek Langat 2 sebaliknya mempertikaikan tindakan kerajaan pusat memberi keutamaan terhadap projek tersebut.

"Kita menerima Projek Langat 2, tetapi ia tidak perlu dibuat dengan terburu-buru. Sekarang kerajaan negeri mahu menyelesaikan isu penstrukturan semula indusri perkhidmatan air di Selangor.

"Kita menegaskan sekali lagi bahawa perlu memberi keutamaan penstrukturan semula industri perkhidmatan air berbanding projek Langat 2," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan mendakwa Abdul Khalid memberi persetujuan itu pada Mesyuarat Majlis Sumber Air Negara Kelima di Putrajaya pada Selasa.

Abdul Khalid berkata, beliau hairan bagaimana Muhyiddin mengeluarkan kenyataan bahawa Selangor telah memberikan izin untuk projek rawatan air Langat 2 itu.

Justeru, menteri besar juga menggesa agar Muhyiddin menahan diri daripada membuat sesuatu andaian pada masa depan.

"Kita akan meneruskan rundingan untuk menyelesaikan isu penstrukturan semula industri perkhidmatan air yang buntu sejak tahun lalu.

"Kita mahukan perjanjian lebih baik, perkhidmatan lebih baik dan harga lebih baik untuk rakyat - itulah matlamat kami," kata beliau.

Artikel Lain