Suspek Kes Bom Buatan Sendiri Meletup Dijangka Ditahan Tidak Lama Lagi - Semasa | mStar

Suspek Kes Bom Buatan Sendiri Meletup Dijangka Ditahan Tidak Lama Lagi

KUALA LUMPUR: Suspek utama kes bom buatan sendiri yang meletup semalam, menyebabkan seorang pekerja wanita siber kafe maut dan seorang pekerja lelaki cedera parah di Cheras, dijangka akan ditahan tidak lama lagi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, suspek, seorang lelaki yang juga merupakan seorang kontraktor berumur 45 tahun, dikesan masih berada di sekitar Lembah Klang.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup yang diperolehi dari kawasan kejadian, suspek telah dikesan berada sewaktu kejadian itu berlaku," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata gerakan memburu suspek sedang giat dijalankan di pelbagai lokasi utama yang berkemungkinan suspek mungkin berada dan dijangka akan ditahan selewat-lewatnya malam ini.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi semalam, seorang pekerja wanita siber kafe, 51 dan seorang pekerja lelaki, 38, telah diminta majikan mereka untuk mengangkat sebuah kotak misteri di depan rumahnya sebelum ia meletup dan terkena kedua-dua mangsa.

Ekoran kejadian itu, pekerja wanita terbabit, Wong Siew Song, 51, maut manakala pekerja lelaki itu cedera parah dan masih menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Muhammad Sabtu berkata jika operasi menahan suspek di satu lokasi malam ini gagal membuahkan hasil, lakaran foto fit suspek akan diedarkan esok kepada orang ramai untuk bantuan lanjut.

Katanya suspek sebelum ini dipercayai telah mengugut salah seorang pekerja itu kerana berang setelah ditegah supaya tidak datang lagi ke siber kafe terbabit akibat kegagalan suspek membayar hutang judi internetnya.

Ketika ditanya mengenai bagaimana bom buatan sendiri itu boleh meletup, beliau berkata ia memerlukan satu kemahiran tinggi bagi menghasilkan bom yang sedemikian walaupun menggunakan mercun dan minyak tanah.

"Ini memerlukan kemahiran untuk hasilkan bom seperti semalam. Kita belum kenalpasti macam mana boleh meletup walaupun dari mercun dan minyak tanah kerana masih lagi dalam siasatan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain