suria

Mahkamah Rayuan Benarkan Permohonan Tian Chua

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, Isnin, membenarkan Anggota Parlimen Batu, Tian Chua merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Jun lepas yang mensabitkannya kerana mencederakan seorang anggota polis.

Beliau dibenarkan berbuat demikian setelah tiga panel hakim terdiri daripada Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Hasan Lah dan Datuk Ahmad Maarop sebulat suara bersetuju bahawa rakaman video yang tidak diterima oleh Mahkamah Majistret dan Mahkamah Tinggi sebagai bahan bukti, adalah penting kepada keseluruhan isu yang dibangkitkan.

Tian Chua diberi masa selama 14 hari untuk memfailkan dan mengemukakan notis rayuan dan rayuan yang dikemukakan adalah berkaitan sabitan sahaja, bukannya hukuman yang telah dijatuhkan.

Pada 29 Jun lalu Tian Chua atau nama penuhnya Chua Tian Chang, 47, memfailkan permohonan itu kerana kesnya berasal dari Mahkamah Majistret.

Dalam afidavitnya, Tian Chua berkata beliau wajar diberi kebenaran membuat rayuan kerana terdapat 13 persoalan undang-undang yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah.

Antara persoalan itu ialah sama ada majistret berkenaan perlu memastikan wujudnya kes prima facie mens rea (niat untuk menyebabkan kecederaan) di pihak Tian Chua apabila membuat keputusan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujudnya kes prima facie.

Tian Chua juga meminta Mahkamah Rayuan memutuskan sama ada majistret berkenaan boleh bergantung pada rakaman video yang belum diterima sebagai bukti dalam memutuskan bahawa pihak pendakwaan membuktikan wujudnya kes prima facie.

Beliau juga memohon mendapatkan keputusan daripada mahkamah itu sama ada seseorang itu boleh menolak daripada ditangkap polis jika tangkapan itu salah di sisi undang-undang.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha mengenakan denda RM2,000 terhadap wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat itu selepas mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 yang dikenakan terhadap Tian Chua sebelum itu kerana mencederakan Konstabel Rosyaidi Anuar, 22, di jalan menghala ke bangunan Parlimen pada pukul 10.45 pagi 11 Dis 2007.

Di luar mahkamah, Tian Chua memberitahu pemberita bahawa beliau tidak kisah dengan kerusi Parlimen yang disandangnya dan tidak timbul persoalan sama ada dia layak atau tidak kerana keputusan Mahkamah Tinggi telah menjelaskan bahawa hukuman ke atasnya sebelum ini untuk mengelak pilihan raya kecil.

Namun beliau ingin merayu tentang sabitan yang dikenakan ke atasnya kerana mendakwa beliau tidak menyerang anggota polis. - BERNAMA

Artikel Lain