suria

Doktor Bebas Tuduhan Bunuh Isteri

SHAH ALAM: Seorang doktor meraikan kemerdekaan dengan cara yang tersendiri selepas dia terselamat daripada tali gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini Isnin, melepas dan membebaskannya daripada tuduhan membunuh isterinya, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu terhadap Dr Jitweer Singh, 54, selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan prima facie untuk dijawab oleh beliau.

Pada penghakimannya Asmabi berkata, tiada bukti kukuh yang dapat menunjukkan bahawa Jitweer adalah orang yang bertanggungjawab dalam kecederaan yang dialami mangsa, Shento Kaur Jaswant Singh yang ditemui mati di bilik utama rumah mereka.

Selain itu, beliau juga berkata, bukan sahaja tiada bukti kukuh yang dapat menunjukkan bagaimana mangsa mati malah sebab kematian turut tidak dapat dipastikan sama ada akibat dicekik atau dilemaskan dengan benda lembut.

Keputusan itu dibuat selepas Asmabi mendengar keterangan 21 saksi pendakwaan. JItweer yang gembira dengan keputusan itu berkata, beliau akan meneruskan kehidupan bersama tiga anaknya dan menjalankan operasi kliniknya yang terletak di Rawang, dekat sini.

“Kejadian ini adalah pengalaman yang menyedihkan kerana semasa saya dituduh membunuh semasa saya sedang bersedih kerana baru kehilangan isteri,” tambahnya yang sebelum ini dijamin pada jumlah RM400,000 bersyarat.

Peguam Karpal Singh yang mewakili Jitweer pula berkata, pihaknya akan memfailkan saman terhadap Peguam Negara untuk menuntut ganti rugi kerana pendakwaan secara salah.

“Saman itu bukan untuk kepentingan anak guam, tetapi untuk kepentingan masyarakat umum supaya pihak pendakwaan tidak sewenang-wenangnya mendakwa individu tanpa bukti kukuh,” katanya.

Jitweer sebelum ini dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana tuduhan membunuh Shento Kaur, antara pukul 5 dan 8.30 pagi, 22 Oktober 2007 di rumah sebuah rumah di Bandar Country Homes, Rawang.

Beliau hanya dihadapkan ke mahkamah kira-kira setahun selepas kejadian, iaitu pada 9 September 2008.

Kematian Shento sebelum ini dikelaskan sebagai mati mengejut, sehingga laporan bedah siasat menunjukkan mangsa mati akibat lemas.

Artikel Lain