suria

Tender Kali Ketiga Bina Jejantas Lebuhraya Sungai Besi Dibuka Isnin Ini

KUALA LUMPUR: Tender kali ketiga projek pembinaan jejantas pejalan kaki di Lebuh Raya Sungai Besi yang menghadapi masalah untuk mendapatkan kontraktor yang berkelayakan, akan dibuka Isnin ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) Datuk Ahmad Phesal Talib berkata tender itu akan dibuka oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dengan pembukaan tender kali ketiga ini, projek tersebut dijangka dapat dimulakan pada 27 Sept ini, katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu.

Beliau berkata projek jejantas pejalan kaki secara kaedah reka dan bina itu menghadapi kesulitan berikutan kontraktor asal yang dilantik melalui tawaran tender pertama menghadapi masalah manakala tiada kontraktor yang berkelayakan menawarkan diri semasa tawaran tender kedua projek dibuka.

Katanya pembinaan jejantas itu amat mendesak bagi mengelakkan kemalangan memandangkan orang ramai dan pelajar terpaksa melintasi lebuh raya tersebut untuk ke tempat kerja dan sekolah.

Beliau berharap penduduk, khususnya di PPR Raya Permai dan Pangsapuri Permai, memahami usaha yang diambil oleh kementerian itu dan DBKL bagi menyegerakan projek tersebut, serta berharap mereka dapat memberi kerjasama sehingga pembinaan projek tersebut dimulakan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain