suria

PM Mahu Isu Khutbah Disiasat Sepenuhnya

PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu polis dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang membuat siasatan sepenuhnya berhubung dakwaan penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Perdana Menteri berkata pihak terbabit yang melakukannya perlu dikenakan tindakan sepatutnya mengikut peraturan sedia ada.

"Saya minta perkara ini disiasat sepenuhnya, siapa yang melakukan perkara ini, sebab peraturan membaca khutbah itu mesti ditentukan majlis agama dan kita tidak ada kebenaran untuk membaca skrip kita sendiri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian kuih raya Angkatan Tentera Malaysia di sini, Sabtu.

Khamis lepas, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan penggunaan nama Setiausaha Agung DAP itu dalam khutbah Jumaat yang dikesan sejak minggu lepas di beberapa masjid di sekitar Permatang Pauh dan Jelutong.

"Jelas sekali apa yang dilakukan itu bertentangan dengan peraturan majlis agama Islam dan perkara ini perlulah disiasat oleh pihak berkuasa dan diambil apa-apa tindakan yang sepatutnya mengikut peraturan sedia ada," kata Najib. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain