suria

KSSB, SPRM Setuju Tubuh Pasukan Petugas Banteras Rasuah Libatkan Pasir

SHAH ALAM: Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), anak syarikat milik kerajaan negeri Selangor dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah bersetuju untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi membanteras rasuah melibatkan perlombongan pasir di Selangor.

Menurut kenyataan Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor di sini hari ini, persetujuan itu dicapai pada pertemuan di antara Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan pihak SPRM dan KSSB di pejabat beliau semalam.

Pada pertemuan itu KSSB disertai oleh Ketua Pengarah Eksekutif, Wan Ab Halim Wan Ismail dan Pengarah Eksekutifnya, Ramli Majed sementara SPRM diwakili Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Sutinah Sultan, Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, Shaharuddin Khalid, Pengarah SPRM Selangor Datuk Jaafar Maahad dan Ketua Unit Pemeriksaan dan Perundingan SPRM Selangor, Mohd Noor Abd Rahman.

Pertemuan itu diadakan susulan daripada pelawaan kerajaan negeri Selangor kepada SPRM untuk menempatkan kakitangan dan pegawai di KSSB bertujuan membanteras rasuah dalam aktiviti perlombongan pasir.

Sehubungan itu, KSSB akan mengadakan taklimat mengenai operasi KSSB kepada SPRM termasuk prosedur dan kaedah-kaedah yang dipraktikkan dalam perlombongan pasir serta urus niaga pasir.

Menurut kenyataan itu, Abdul Khalid dalam pertemuan itu turut berterima kasih kepada SPRM kerana bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan operasi perlombongan dan perniagaan pasir bebas daripada unsur rasuah.

Beliau berkata, apabila pasukan petugas khas itu ditubuhkan, SPRM lebih bebas untuk memantau perjalanan operasi KSSB untuk mengesan sekiranya ada prosedur yang boleh membuka ruang kepada rasuah.

Pada pertemuan itu, Menteri Besar turut dimaklumkan bahawa SPRM sedang memantau lebih dekat operasi perlombongan pasir di beberapa negeri termasuk di Selangor dan SPRM berharap dapat membuat perbandingan prosedur dan praktis yang diguna pakai di Selangor dengan negeri-negeri lain.

Abdul Khalid turut meminta SPRM memberi cadangan berhubung prosedur yang boleh mengurangkan berlakunya rasuah menerusi pemantauan dan pemerhatian yang dilakukan terhadap KSSB. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain