suria

Wanita Bebas Tuduhan Subahat Bunuh Suami

SHAH ALAM: Seorang suri rumah yang dibebaskan daripada tuduhan bersubahat membunuh suaminya, seorang kontraktor, S.Sivananthan bergegas meninggalkan Mahkamah Tinggi di sini Jumaat, sebaik sahaja prosiding mahkamah selesai.

R.Kavitha, 32, menjelaskan bahawa dia terpaksa berbuat demikian kerana bimbang keluarga mertuanya akan ‘membalas dendam’ memandangkan ramai yang beranggapan dia sebagai dalang kepada kematian suaminya.

“Saya tidak akan melakukan perkara sedemikian kerana saya sangat mencintai dia. Dia adalah suami dan ayah yang baik,” katanya yang mempunyai seorag anak perempuan berusia empat tahun hasil perkahwinan selama 10 tahun.

Bercerita lanjut mengenai detik perkenalan mereka, Kavitha berkata, mereka berkenalan pada usia 17 tahun di Sungai Petani, Kedah semasa tinggal berjiran dan membuat keputusan untuk tinggal di Klang, dekat sini meskipun mendapat tentangan ibu Kavitha.

Kavitha yang merupakan ejen insurans sambilan menambah, dia kini mahu berjumpa anaknya yang berada di dalam jagaan ibu mertuanya.

“Saya tidak berjumpa dengannya selama satu tahun setengah sejak saya dituduh di mahkamah. Saya bersumpah tidak akan meninggalkan dia lagi,” tambah Kavitha lagi.

Terdahulu, Hakim Mohd Yazid Mustafa melepas dan membebaskan Kavitha daripada tuduhan bersubahat dengan L. Vasanthakumar dan R. Rathakrishnan untuk membunuh Sivananthan, 31, pada pukul 9 pagi, 22 Februari 2009.

Vasanthakumar, 23, yang merupakan seorang pemasang kabel television dan Rathakrishnan, 21, seorang buruh didakwa membunuh Sivananthan di rumah bernombor 22, Lorong Batu Nilam 17E, Bandar Bukit Tinggi 2, Klang.

Kavitha didakwa melakukan kesalahan itu dengan membenarkan dua lelaki tersebut masuk ke dalam rumah.

Mohd Yazid membuat keputusan itu tanpa memanggil semua mereka untuk membela diri atas tuduhan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal membukti prima facie untuk dijawab tertuduh.

Beliau yang mendengar keterangan 17 saksi pendakwaan berpendapat bahawa tiada bukti yang dapat mengaitkan Vasanthakumar dan Rathakrishnan dengan pembunuhan tersebut.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail sementara barisan pembelaan dibarisi peguam-peguam T. Vijayandran, Dev Kumaraendran, V. Ramanathan dan V.Ayasamy.

Sementara itu, di mahkamah berlainan, seorang pekerja kilang warga Indonesia, Azmer Mustafa, 30, dihukum mati selepas didapati bersalah mengedar 2, 884 gram ganja, lapan tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zaki Md Yasin membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi.

Azmer didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 5,30 petang, 11 September 2002 di Jalan Teluk, Batu 1 Off Batu 4 1/2 di Jalan Kampung Jawa, Klang, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alfred Egin manakala tertuduh diwakili peguam Mah Kah Keong yang menyebut bagi pihak Gooi Soon Seng.

Perbicaraan melibatkan sembilan saksi pendakwaan manakala tertuduh tidak memanggil saksi lain untuk menyokong pembelaannya.

Artikel Lain