suria

Tiga Murid Maut Dalam Nahas Jalan Raya

SANDAKAN: Tiga murid sekolah maut selepas van yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah lori treler di Km6.5 Jalan Sukau-Kinabatangan kira-kira 100 kilometer dari sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rosli Mohd Isa berkata kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu mengakibatkan Wan Mohd Anizam, 9, Nursafiqah, 7, dan Arnidah Sabar, 6, mati di tempat kejadian, manakala tujuh lagi murid yang juga berada di dalam van itu hanya mengalami cedera ringan.

Beliau berkata van yang dinaiki 10 murid itu dikatakan baru keluar dari satu simpang apabila ia dirempuh oleh sebuah lori treler yang dalam perjalanan dari Sukau ke Kinabatangan.

"Ketika kejadian semua murid sekolah itu dalam perjalanan balik ke rumah masing-masing selepas tamat sesi persekolahan," katanya di sini pada Jumaat.

Rosli berkata pemandu van itu melarikan diri selepas kejadian dan polis sedang berusaha mengesannya.

Katanya mayat ketiga-tiga murid itu yang dihantar ke Hospital Daerah Kinabatangan untuk dibedah siasat sudah dituntut oleh keluarga masing-masing. -BERNAMA

Artikel Lain