suria

Shafie Yakin Masalah Pemuda Alor Setar Selesai Segera

ALOR SETAR: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin masalah dalam pergerakan Pemuda Umno bahagian Alor Setar akan dapat ditangani segera dan diselesaikan dengan cara baik.

Mohd Shafie berkata, beliau telah meminta ketua pergerakan Pemuda Umno Negeri mengadakan pertemuan dengan semua ahli jawatankuasa Pemuda Umno bahagian terbabit untuk berbincang mengenai masalah itu.

"Ini sebenarnya masalah dalaman Pemuda itu, saya yakin kalau buat pendekatan ia boleh diatasi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kedah, di sini pada Jumaat.

Isnin lalu, 11 ahli jawatankuasa Pemuda Umno bahagian Alor Setar meletak jawatan berkuatkuasa 7 Ogos lepas dengan alasan tidak berpuas hati terhadap pucuk pimpinan bahagian kerana meminggirkan peranan pergerakan itu selepas pilihan raya umum 2008.

Pada Khamis, tiga daripada mereka menarik balik peletakan jawatan itu atas alasan mahu mengekalkan nama baik cawangan.

Sementara itu ketua pergerakkan Pemuda Umno Negeri, Badrul Hisham Hashim berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan tertutup dengan semua yang terlibat dan berharap masalah berkenaan dapat diselesaikan secara aman petang ini.

"Kita mahu selesaikan masalah ini secara keluarga demi kebaikan parti dan tidak mahu kemelut ini berlarutan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain