suria

Rakyat Malaysia Disyaki Terbabit Sindiket Kad Kredit Palsu Ditahan

NEW DELHI: Polis India percaya sebuah sindiket kad kredit palsu antarabangsa berjaya dibongkar, ekoran penahanan seorang rakyat Malaysia yang memiliki pasport Sepanyol, di sini Rabu lepas.

Sahubar Naina Mohd Abdullah, 43, ditahan oleh polis Daryaganj, di sini kerana disyaki mempunyai kaitan dengan dengan satu kumpulan penjenayah Nigeria yang terbabit dalam kegiatan klon kad kredit yang menjadikan pedagang barang-barang elektronik dalam bandar raya sebagai mangsa.

Sahubar ditahan selepas pihak berkuasa menerima maklumat daripada seorang pekedai tempatan, apabila suspek mencetuskan keraguan selepas dia memperkenalkan dirinya sebagai warga Sepanyol.

"Dia membeli sebuah telefon bimbit menggunakan kad kredit, tapi selepas diperiksa kad itu didapati kad yang diklon. Kemudian difahamkan pasport Sepanyol yang dimiliknya juga adalah palsu," kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Daerah Tengah Delhu, Jaspal Singh.

Menurut kertas siasatan, Sahubar, dari Lebuh Pudu, Kuala Lumpur, tiba di Delhi atas arahan seorang warga Nigeria yang dikenali dengan nama "Kanchail", yang menawarkan komisyen kepada lelaki Malaysia itu untuk menggunakan kad kredit palsu.

Polis merampas lapan kad kredit klon milik pelbagai bank antarabangsa, pasport Sepanyol palsu, lapan kad SIM telefon bimbit, dan beberapa barang berjenama daripada suspek.

Polis tidak mendedahkan jumlah nilai barang yang dibeli oleh sindiket itu di bandar raya menggunakan kad kredit palsu.

Difahamkan Sahubar memberitahu polis Delhi bahawa beliau adalah pekerja separuh masa di Kuala Lumpur, dan menanggung banyak hutang semasa tiba di Delhi. -BERNAMA

Artikel Lain