suria

Polis Pahang Kesan Warga India Larikan Duit Majikan RM200,000

KUANTAN: Polis Pahang sedang mengesan seorang pekerja kedai buku warga India yang telah melarikan diri bersama wang tunai RM200,000 milik majikannya awal bulan ini.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata suspek, Abdul Malik Basir, 50-an, disyaki melarikan wang majikannya yang turut menjalankan urusniaga tukaran wang itu setelah diarahkan majikannya membawa wang tersebut untuk ditukar dengan mata wang lain ke Kuala Lumpur pada 7 Ogos lepas.

"Namun, suspek yang sepatutnya pulang pada hari yang sama tidak pulang sehinggalah majikannya membuat laporan mengenai kejadian itu dua hari kemudian," katanya ketika ditemui di sini, Jumaat.

Katanya, suspek telah diamanahkan membawa wang tersebut dengan menaiki bas dari Kuantan ke Kuala Lumpur pada hari berkenaan.

Beliau berkata siasatan polis mendapati suspek yang telah bekerja selama 20 tahun di kedai buku di bandar Kuantan itu menggunakan identiti palsu iaitu menggunakan kad pengenalan orang lain yang telah meninggal dunia.

Menurutnya, suspek dipercayai masih berada di dalam negara kerana pernah dilihat oleh orang ramai di sekitar Kuantan selepas tiga hari kejadian tersebut.

Beliau meminta orang ramai yang mengenali atau pernah terjumpa lelaki berkenaan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Syahlizan Badrun di talian 012-5554777 atau mana-mana balai polis berhampiran. - BERNAMA

Artikel Lain