suria

Kerajaan P. Pinang Nafi Sebut Nama Guan Eng Dalam Khutbah Jumaat

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri hari ini menafikan dakwaan Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa nama Ketua Menteri Lim Guan Eng digunakan dalam doa khutbah kedua solat Jumaat menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Abdul Malik Kassim berkata, siasatan pihaknya mendapati tiada mana-mana masjid melakukan doa dalam khutbah Jumaat yang menyebut nama Lim seperti yang didakwa itu.

Katanya, teks khutbah Jumaat yang dibacakan oleh para khatib disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan tidak pernah menggunakan nama ketua menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

"Kerajaan negeri dan Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang juga tidak pernah menerima atau mengeluarkan arahan secara lisan mahupun bertulis kepada mana-mana pihak untuk tujuan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, peraturan Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang juga menyebut jika terdapat pentadbiran masjid ingin menjemput para khatib jemputan, mereka perlu mendapat kelulusan jabatan itu terlebih dahulu.

Semalam Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang membantah penggunaan nama Lim dalam bacaan doa khutbah Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong di beberapa buah masjid di negeri itu baru-baru ini.

Pengerusi badan itu Ahmad Zahid berkata penggunaan nama ketua menteri itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lepas di beberapa buah masjid sekitar Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.

Beliau berkata tindakan itu adalah di luar daripada keputusan Majlis Raja-Raja. -BERNAMA

Artikel Lain