suria

Jawatankuasa Ditubuh Siasat Kenyataan Pengetua Berbaur Perkauman

PUTRAJAYA: Sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi menyiasat kenyataan berbaur perkauman dan menghina yang didakwa telah diucapkan oleh seorang pengetua di Johor minggu lepas, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, jawatankuasa yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelajaran itu akan melakukan siasatan bagi mendapatkan fakta sebenar berhubung perkara itu.

Beliau berkata setakat ini, reaksi berhubung kenyataan itu mungkin begitu emosional namun apa juga langkah susulan yang hendak diambil oleh pihak kementerian perlu dibuat dengan adil.

"Kita mesti dapatkan fakta yang betul kerana ada juga maklumat yang diterima agak berbeza tentang apa yang disebut, apa yang dinyatakan dan ada juga pihak yang telah membuat laporan kepada polis," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengetua sebuah sekolah di Kulai Jaya, Johor yang didakwa menyebut pelajar Cina tidak diperlukan di sini dan boleh pulang ke China di samping menyamakan gelang keagamaan Hindu yang dipakai oleh pelajar India seperti rantai anjing adalah amat menjijikkan.

Muhyiddin berkata walaupun pengetua terbabit telah memohon maaf dan diberi cuti tetapi tindakan yang dikenakan itu adalah langkah sementara.

Katanya tindakan susulan sama ada daripada segi disiplin atau perjawatan hanya akan diambil selepas laporan terperinci jawatankuasa tersebut dikemukakan kepada kementerian.

"Jika ia melibatkan soal disiplin, dan pegawai ini dianggap sebagai pegawai yang agak kekananan iaitu DG48, maka dia perlu dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam kerana prosedurnya melibatkan perjawatan," katanya.

Muhyiddin berkata bagi polis yang telah menerima laporan berhubung perkara itu, terserah kepada mereka apa yang akan diperoleh daripada siasatan yang dijalankan. BERNAMA

Artikel Lain