suria

Sebabkan Kematian: Penyelia Dipenjara 5 Tahun

SHAH ALAM: Niat murni mahu membantu teman baiknya akhirnya berakhir dengan tragedi.

Tan Ooi Boon kehilangan nyawa selepas membantu menyelamatkan abang rakannya Sim Lian Hoe iaitu Lian Lee yang dilarikan oleh tujuh lelaki dengan menaiki kereta.

Dalam kejadian yang berlaku dua tahun lalu, Tan, 32, menerima panggilan daripada Lian Hoe yang meminta tolong selepas diserang oleh kumpulan lelaki terbabit di hadapan sebuah pos pengawal kondominium.

Dengan bersenjatakan sebatang kayu golf, mangsa telah memukul cermin kereta Proton Perdana yang membawa Lian Lee dengan tujuan menghentikan kereta tersebut.

Tindakan itu telah menyebabkan tujuh lelaki itu menyerang Tan dengan menggunakan parang, batang besi dan juga kayu.

Lian Hoo turut diserang sehingga pengsan manakala Tan, anak pemilik bakeri sempat kembali ke rumah dalam keadaan berlumuran darah.

Tan disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat sini dan bedah siasat mendapati dia mati akibat tetakan di kepala yang terkena tengkorak.

Pada Khamis, salah seorang daripada tujuh lelaki itu, Sriharan Batumalai, 30, yang merupakan penyelia pengawal keselamatan dihukum penjara lima tahun selepas mengaku salah menyebabkan kematian Tan.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Siti Mariah Ahmad memerintahkan hukuman itu bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap, iaitu 13 Mac 2009.

Pada penghakimannya, Siti Mariah berkata, walaupun beliau bersimpati dengan keluarga mangsa, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman seperti yang diperuntukkan undang-undang.

“Saya harap kamu akan berfikir apa yang telah kamu lakukan semasa berada di penjara dan akan berubah menjadi orang yang lebih baik,” tambahnya.

Tertuduh didakwa sebagai sebahagian daripada ahli perhimpunan haram telah menyebabkan kematian Tan pada pukul 11.30 malam, 14 Mac 2008 di kawasan pos pengawal Regency Kondominium, Jalan Pelangi Off Jalan Batu Tiga Lama, Klang.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Peguam tertuduh, Amrit Pal Singh terdahulu merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan memandangkan berlaku provokasi dalam kejadian itu.

Ini kerana, terdapat salah faham yang berlaku antara tertuduh yang bekerja di kondominium tersebut dengan keluarga Lian Hoo mengenai tempat letak kereta.

“Tertuduh telah menyesal dan insaf dengan kesalahannya. Tertuduh telah bertunang dan akan berkahwin selepas tamat menjalani hukuman,” tambahnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ridha Abdah Subri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang dapat memberikan pengajaran kepada tertuduh.

“Perbuatan tertuduh adalah kejam. Mangsa hanya mahu membantu rakannya dan tidak terlibat dalam kejadian yang berlaku,” tambahnya.

Artikel Lain