suria

Rosmah Dijemput Berucap Di Persidangan Pendidikan Wanita Antarabangsa

PUTRAJAYA: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor menerima jemputan untuk berucap pada Persidangan Antarabangsa mengenai Pendidikan Wanita di Asian University for Women, di Bangladesh pada Januari depan.

Jemputan itu disampaikan Cherie Blair, isteri bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair ketika membuat kunjungan hormat ke atas Rosmah di Sri Perdana, di sini Khamis.

Rosmah ketika mengulas jemputan itu berkata beliau berasa bangga dan percaya Malaysia boleh memberi sumbangan besar kerana mempunyai pengalaman luas dalam memberi pendidikan kepada wanita di negara ini.

"Mungkin saya akan mengetengahkan isu pendidikan bagi kanak-kanak perempuan dan saya akan berusaha untuk hadir persidangan tersebut," katanya pada sidang akhbar bersama Cherie di sini.

Cherie yang juga penaung universiti dan pengerusi bersama persidangan tersebut berkata Rosmah dijemput berasaskan pengalaman luas dan keghairahan beliau terhadap isu kanak-kanak dan wanita khususnya dalam bidang pendidikan.

Asian University for Women ditubuhkan di Bangladesh tiga tahun lepas dan mendidik pelajar dari negara-negara seperti Vietnam, Afghanistan, Bhutan dan Palestin.

Terdahulu ketika pertemuan, mereka turut membincangkan isu ibu tunggal dan balu serta bersetuju Malaysia wajar memainkan peranan utama dalam kempen meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengiktiraf tarikh 23 Jun sebagai Hari Balu Antarabangsa.

Cherie yang bercuti di negara ini selama tiga minggu akan pulang esok. - BERNAMA

Artikel Lain