suria

Pesawat TUDM Terbangkan Wanita Hamil Bermasalah Jantung Dari JB ke IJN

KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan satu penerbangan ihsan menggunakan pesawat jenis CN235 untuk membawa seorang wanita hamil yang mengalami masalah jantung dari Johor Baru untuk menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, Selasa lepas.

Norlaileza Abdul Manan yang disahkan berada dalam keadaan kritikal, diterbangkan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai pada 7.14 pagi dan tiba di Pangkalan Udara Subang sejam kemudiannya, sebelum dibawa menaiki ambulans ke IJN di Jalan Tun Razak di sini.

Menurut kenyataan TUDM pada Khamis, penerbangan itu dilakukan setelah menerima permohonan daripada Kementerian Kesihatan yang melibatkan pesawat dari Detasmen No 1 Skuadron Pangkalan Udara Subang.

Ia diketuai Kapten Muhammad Amin Jaafar dan dibantu oleh Kapten Saifuddin Nordin, serta diiringi suami pesakit Noorhuza Mohamad, pegawai perubatan Dr Mayachandran Sekaran, pembantu perubatan serta jururawat. - BERNAMA

Artikel Lain